Tuesday, January 26, 2016

APLIKASI KTM MOB TIKET DI TELEFON PINTAR ANDA


Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar telah pun melancarkan aplikasi KTM Mob Tiket yang kini kita boleh membeli tiket perkhidmatan KTM Intercity dan ETS dari telefon pintar kita. Anda hanya perlu muat turun dari Google Play dan Apple Store. Aplikasi telefon pintar KTM Mob Tiket ini juga telah menjadi satu keperluan dan ia lebih mudah dan mampu menjimat masa berbanding daripada jika beratur di kaunter tiket.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga telah memperkenalkan 12 perkhidmatan baharu tren elektrik (ETS) bermula 18 Januari lalu. Ia adalah bagi memenuhi permintaan orang ramai di mana perkhidmatan baharu ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori setiap hari, kategori Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis serta kategori Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Bagi kategori setiap hari, sebanyak tujuh perkhidmatan baharu diperkenalkan iaitu dari Ipoh ke KL Sentral, Butterworth ke KL Sentral (dua perkhidmatan), Padang Besar ke KL Sentral, KL Sentral ke Padang Besar dan KL Sentral ke Butterworth (dua perkhidmatan). Kategori Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis iaitu dari KL Sentral ke Ipoh manakala untuk kategori Jumaat, Sabtu dan Ahad, sebanyak empat perkhidmatan tambahan daripada tujuh perkhidmatan diperkenalkan iaitu KL Sentral ke Ipoh, KL Sentral ke Butterworth, Padang Besar ke KL Sentral dan Butterworth ke Ipoh.

Pada majlis perasmian yang sama, Tan Sri Syed Hamid juga telah melancarkan perkhidmatan tren tambahan ETS Platinum No. 9231 di KL Sentral di mana penumpang boleh menikmati diskaun 25% dan terhad kepada mereka yang membuat perjalanan dari 18 hingga 31 Januari, dan tawaran ini dibuka dari 14 hingga 31 Januari 2016. Perjalanan ETS Platinum adalah laluan Butterworth ke KL Sentral, Bukit Mertajam ke KL Sentral dan Nibong Tebal ke KL Sentral dan juga dari arah bertentangan.



Sebagai tanda penghargaan KTMB kepada penumpang, diskaun tiket perjalanan sebanyak 10 hingga 25 peratus akan diberikan secara berterusan.

ETS yang baharu ini boleh memuatkan seramai 320 penumpang dalam satu perjalanan dan gerabaknya turut dilengkapi dengan ruang solat, kafeteria mini, tandas dan perkhidmatan wi-fi bagi memenuhi keselesaan orang ramai.

Tiket akan dibuka bermula jam 8:30 pagi secara serentak di semua rangkaian kaunter tiket ETS dan Intercity serta secara online. Untuk makluman, bermula 1 Januari 2016, KTMB tidak menyediakan perkhidmatan Tempahan Tiket (Telefon/Emel).  

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-22671200 (07:00 am – 10:00 pm) atau menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my dan callcenter@ktmb.com.my  



No comments:

Post a Comment