Tuesday, December 01, 2015

#REGATA MUKAH 2015... ERA BARU



Kini pesta Regata Mukah kembali dengan era baru yang bertemakan 'Saug Tapak Adan' yang membawa maksud Berkayuh hingga ke akhir. Walaupun kali terakhir Regata Mukah diadakan sepuluh tahun lalu, sebenarnya ia adalah titik permulaan untuk membawa sukan air ini ke peringkat yang lebih jauh dan berkemungkinan besar bakal dibawa ke persada antarabangsa.

Demikianlah kenyataan dan harapan Penaung Regata Mukah 2015 dan juga Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Toyad Abdullah. Dato Sri juga adalah Presiden Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak.

Acara gemilang ini telah dirasmikan pada 28 November (Sabtu) lalu oleh YB Datuk Amar Abang Hj Abd Rahman Zohari bin Tun Abang Hj Openg, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak. Manakala acara penutupnya yang dipanggil 'Keman Berambeh' Regata Mukah 2015 pula, rakyat Mukah telah bersama-sama TYT Yang di Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Di Mukah terdapat satu temasya istimewa yang telah pun dipromosikan ke seluruh dunia iaitu Pesta Kaul di mana pesta ini bukan saja mendapat sambutan dari penduduk tempatan malahan dari luar negara juga. Bagi mendokong pembangunan pelancongan Sarawak, acara sukan air Regata Mukah ini boleh dijadikan acara tahunan yang kedua terbesar selepas pesta tradisi Kaul Mukah yang disambut secara tahunan.

Penduduk di Mukah yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat Melanau, kaya dengan adat resam dan menjadikan setiap perayaan sebagai medan perkelahan. Bagi memenuhi permintaan penduduk setempat dan di atas semangat komuniti yang menghargai berhimpun sesama keluarga, rakan dan jiran, maka Regata Mukah diwujudkan semula.

Dari sudut falsafahnya, Regata ini adalah satu kerjasama dan keharmonian di antara satu sama lain ke arah satu matlamat menuju kejayaan dan kecemerlangan di akhir garisan pertandingan. Yang lebih penting, untuk menggerakkan perahu, mereka berkayuh dalam satu 'rhytm' dan 'momentum' yang serentak.  Jika dilihat didalam setiap sampan, ahli-ahli kumpulan terdiri daripada pelbagai bangsa. Di Regata Mukah, khususnya terdapat pelbagai bangsa seperti Melanau, Iban, Melayu dan Bidayuh boleh bergandingan dalam satu perahu. Inilah falsafah budaya masyarakat Mukah yang sebenarnya yang telah ditunjukkan di dalam sukan Regata.

Bersempena acara Regata Mukah ini, pengunjung juga telah berkesempatan melawat satu lagi acara tempatan di pameran 'Mukah Kitchen' yang dianjurkan bersama Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian Mukah dan Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal. Pelbagai masakan dan hidangan yang sangat terkenal di Mukah seperti Umai dan Linut boleh dinikmati dan sekaligus telah menjadikan acara Regata ini lebih bermakna untuk mempromosi produk-produk pelancongan tempatan.

Mulai tahun 2016 nanti, pendekatan baru acara Regata Kebangsaan Sarawak akan diperkenalkan di mana pertandingan ini akan diadakan pada bulan November. Ini adalah untuk membolehkan Regata bahagian diadakan terlebih awal dan begitu juga dicadangkan untuk Regata Mukah. Akhirnya setiap juara dari bahagian-bahagian lain di Sarawak akan bertanding di Kuching.

Pada tahun hadapan juga, Regata Sarawak akan dikenali sebagai Pan Borneo Regata di mana pasukan luar negara seperti Brunei dan Kalimantan akan mengambil bahagian.

No comments:

Post a Comment