Monday, November 23, 2015

#MH370 : TAMBAHAN AUD20 JUTA DARI CHINA, MALAYSIA RAKAM PENGHARGAAN

3 penggerak utama dan pembuat keputusan dari Malaysia, Australia dan China

Lanjutan dari pertemuan PM Najib Razak dan Presiden Xi Jinping ketika persidangan APEC di Filipina, kerajaan China telah berjanji untuk menambah bantuan sebanyak AUD20 juta untuk meneruskan usaha pencarian MH370. Sumbangan ini telah diumumkan oleh Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Li Keqiang pada hari Sabtu lalu semasa pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull di Kuala Lumpur, di mana pemimpin-pemimpin Asia Pasifik berhimpun untuk mengadakan sidang kemuncak serantau.

Bagi pihak kerajaan Malaysia, Menteri Pengangkutan Datuk Liow Tiong Lai  dalam satu kenyataan akhbarnya, menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri Li ke atas sumbangan tersebut dan tidak dinafikan bantuan ini sudah pasti akan membantu Malaysia dan Australia meneruskan dalam misi pencarian MH370.

Datuk Liow juga telah menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada rakan-rakan anggota ASEAN yang telah menyumbang kepada pencarian MH370. Ketika Malaysia di dalam keadaan yang sangat memerlukan, negara-negara jiran telah memberi sokongan padu yang tidak ternilai, dan ini membuktikan kepada hubungan rapat di antara negara-negara sahabat.

Sejak bulan Mac tahun lepas, segala usaha telah dilaksanakan dalam mencari MH370. Pasukan kumpulan strategi pencarian yang diketuai oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, yang terdiri daripada pakar-pakar dari pelbagai organisasi antarabangsa, telah bekerjasama untuk mengkaji semula secara bebas dan menghalusi semua data yang ada yang berkaitan dengan pencarian ini telah diperolehi.

Seperti yang diumumkan pada April 2015, Malaysia bersama-sama dengan China dan Australia telah komited sepenuhnya untuk melengkapkan pencarian di laut dan telah dilanjutkan ke zon carian seluas 120,000 kilometer persegi. Lokasi ke dasar laut yang sangat dalam dengan keadaan cuaca buruk, ia terus memberi cabaran. Walau bagaimanapun, kita akan tabah dan yakin pencarian ini akan berhasil.

Sokongan di luar jangka ini, kerjasama serta persefahaman yang telah diberikan oleh Kerajaan Australia dan China telah memainkan peranan penting ketika negara mengalami musibah ini. Datuk Liow sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan Malaysia akan terus komited untuk mencari bukti-bukti MH370 di mana jua ia berada.

Malaysia Airlines MH370 hilang lebih daripada setahun yang lalu, dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang telah terkorban di mana kebanyakannya adalah penumpang dari China. Pencarian pesawat itu telah melibatkan lebih daripada 20 negara yang telah menyumbang pesawat, kapal, kapal selam dan satelit dengan menelan belanja berjumlah USD120 juta.

Baru-baru ini pada bulan Julai, penyiasat Perancis telah mengenalpasti bahagian serpihan pesawat tersebut telah ditemui terdampat di sebuah pulau terpencil di Lautan Hindi sebagai sebahagian daripada Boeing 777.

No comments:

Post a Comment