Friday, November 27, 2015

PROGRAM “BACK TO SCHOOL” DINANTI WARGA KOTA TINGGI


Betapa bertuahnya warga Kota Tinggi apabila setiap akhir tahun, keresahan mereka terutamanya ibubapa yang perlu membuat persiapan untuk anak-anak mereka memulakan sesi persekolahan mendapat prihatin dan perhatian Ahli Parlimennya.

Prihatin Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Ehsanuddin untuk meringankan keresahan ibubapa membuat persiapan anak-anak mereka telah menjadi agenda tahunan warga Kota Tinggi dan kali ini program tersebut akan berlangsung seperti berikut;

Program Penyampaian Bantuan Persekolahan Sempena “Back To School” :

Tarikh   :  28 November 2015 (Sabtu)
Masa     :  10.00 pagi
Tempat :  Dewan Sek. Keb. Muzaffar Syah, Air Tawar 3

Tarikh   :  28 November 2015 (Sabtu)
Masa     :  2.00 Petang
Tempat :  Dewan Kg. Felda Pasak, Kota Tinggi
                                                         
Tarikh   : 29 November 2015 (Ahad)
Masa     : 10.30 pagi hingga 2.00 petang
Tempat : Dewan Semai Bakti, Felda Bukit Easter Kota Tinggi

Pada tahun lepas, bantuan kelengkapan ke sekolah adalah dengan kerjasama beberapa badan NGO dan syarikat swasta seperti Yayasan Mesra dan PLUS Malaysia Berhad dalam menunaikan tanggungjawab sosial (CSR) mereka. Seramai 500 orang kanak-kanak sekolah telah mendapat bantuan peralatan ke sekolah.

Di samping itu, nilai-nilai murni dapat diterapkan apabila sikap saling bantu-membantu, perasaan kasih sayang, semangat kekitaan di antara satu sama lain di setiap peringkat samada umur, jantina dan juga bangsa. Dengan program bantuan 'Back to School' ini juga dapat memberi nilai-nilai pemikiran positif kepada masyarakat betapa pentingnya pendidikan kepada generasi akan datang.
 

Wednesday, November 25, 2015

WARGA KOTA TINGGI BERSIAP SEDIA HADAPI BENCANA SERTAI KURSUS JPAM


Menjelang hujung tahun, negara akan mengalami musim tengkujuh dan Kota Tinggi tidak akan ketinggalan menerima kesannya. Saban tahun Kota Tinggi akan dilanda banjir dan di dalam sejarah akhir tahun 2006 hingga awal 2007. Bukan sahaja daerah Kota Tinggi yang terjejas, tetapi beberapa daerah lain juga turut ditenggelami air sehingga negeri Johor hampir lumpuh.

Beratus ribu penduduk telah terjejas dan mereka ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir. Dari pengalaman pahit inilah, maka Pejabat Daearah Kota Tinggi dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah menganjurkan Kursus Latihan Pasukan Tindak Balas Komuniti (CDERT). 

Kursus sehari ini telah disertai seramai 96 orang kepimpinan komuniti Mukim Kota Tinggi dan Mukim Ulu Sungai Johor dan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.

Kursus sehari ini meliputi pengenalan Pertahanan Awam di mana peserta dapat memahami peranan serta fungsi pertahanan awam. Peserta juga diberi pendedahan langkah-langkah menyelamat dan melindungi mangsa yang terlibat dengan bencana. Latihan praktikal seperti pertolongan cemas pula bertujuan memberi persiapan kepada peserta agar dapat mengurangkan kehilangan nyawa serta keroskan harta benda penduduk awam.

Pendedahan Pertahanan Awam bukan sekadar meliputi berhadapan dengan keadaan banjir sahaja, malahan peserta juga diberi latihan membina kesediaan orang awam menyelamatakan diri dan mangsa ketika berhadapan dengan situasi darurat. Di antara aktiviti yang telah diadakan adalah pendedahan mengenai Kumpulan Mencari dan Menyelamat (SAR), bantuan kecemasan, perubatan dan logistik.

Pihak JPAM telah mensasarkan pengambilan 1,000 sukarelawan di kalangan penduduk di daerah Kota Tinggi dan akan membuka pejabat cawangan Kota Tinggi pada 1 Disember serta menjadikan parkir Balai Trafik Lama sebagai depot sementara lojistiknya.

Dengan adanya pejabat di daerah Kota Tinggi ini, kerja-kerja bantuan menyelamat kecemasan dapat dilakukan dengan segera dan tidak memerlukan masa yang lama untuk sampai di tempat kejadian. Selama ini bantuan kecemasan dilakukan oleh pasukan JPAM dari daerah Johor Bahru dan Muar. Pejabat baharu itu nanti akan dilengkapi aset seperti pejabat daerah lain serta dikendalikan oleh empat anggota JPAM dan dibantu beberapa anggota sukarelawan.

DATUK WEE MAHU ISU AIR JOHOR TIDAK BERLARUTAN SEPERTI KRISIS AIR SELANGOR


Isu catuan air di Johor yang telah berlanjutan sejak tiga bulan lalu dan akan dilanjutkan sehingga 15 Disember ini telah menyebabkan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk bersuara dan campurtangan.

Sebagai salah seorang Ahli Parlimen di Johor yang telah mendapat mandat rakyat selama 3 penggal dan Datuk Wee juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau merasakan adalah menjadi tanggungjawabnya membangkitkan perkara ini di dalam mesyuarat Kabinet untuk memohon Kerajaan Pusat meneliti isu tersebut dengan segera.

Di dalam mesyuarat Kabinet Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, menterinya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah berjanji yang beliau akan meneliti perkara ini sebelum memikirkan tindakan susulan.

Datuk Wee  ingin mengingatkan yang isu air di Johor akan menjadi lebih buruk jika Kerajaan pusat tidak campurtangan dan akhirnya Johor bakal berhadapan dengan krisis air seperti yang telah berlaku di Selangor.

Sebagai Ahli Parlimen Air Hitam, beliau sentiasa berhubungan dengan penduduk Johor. Beliau sangat bimbang dengan aduan catuan air yang berlanjutan yang telah menjejaskan lebih 640,000 pengguna di kawasan-kawasan kediaman, perdagangan dan perindustrian di sekitar Johor Baru, Kota Tinggi dan Pengerang sejak Ogos lalu.

Lebih membimbangkan apabila paras air di empangan Sungai Layang dan Sungai Lebam telah mencecah ke tahap kritikal.

Memandangkan negeri Johor adalah salah satu peneraju ekonomi negara, dengan isu air yang berlarutan ini bakal menjejaskan keyakinan pelabur asing kelak. Oleh itu, Datuk Wee menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan membina kawasan tadahan baru yang lebih besar dan bagi mengelakkan dari pencemaran, kawasan ini hendaklah jauh dari kawasan aktiviti pertanian.

Kebimbangan Datu Wee adalah berasas apabila krisis berterusan air di Selangor telah gagal ditangani kerajaan Pakatan Rakyat sehingga menjejaskan bukan sahaja penduduk tempatan malahan beberapa kilang yang telah lama beroperasi telah terpaksa ditutup. Pelaburang baru asing di kerajaan PR Selangor juga telah menjunam akibat dari kegagalan kerajaan negeri mengatasi krisis air.

Walaubagaimanapun, Kerajaan Johor sedang menimbangkan pemberian insentif kepada pengguna yang terjejas akibat pelaksanaan bekalan air berjadual. 

Isu ini akan dibentangkan pada Mesyuarat Exco akan datang bagi mencari mekanisme terbaik bagi cadangan pemberian insentif itu. Berkemungkinan di antara cadangan inisiatif ini termasuklah menimbangkan potongan diskaun atau rebat selepas mengambil kira kesukaran yang dihadapi pengguna.

Tuesday, November 24, 2015

MESEJ PENGERUSI SPAD - 5 TAHUN SAJA LAGI


Apabila kita berbicara mengenai perjalanan masa depan, adalah penting ia dijadikan satu cita-cita tetapi bukan dibuat ramalan apa yang bakal berlaku dan bagaimana kehidupan kita di masa depan. Itulah pembuka kata Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar di dalam ucap utamanya ketika merasmikan Simposium Pengangkutan Awam Darat 2015 yang dianjurkan SPAD baru-baru ini.

15 tahun yang lalu, apakah kita mejangkakan penggunaan media sosial dalam kehidupan seharian kita pada hari ini? Facebook hanya wujud pada tahun 2004, Twitter pada 2006, namun nampaknya hari ini kita tidak boleh hidup tanpa media sosial. Menurut Tan Sri Syed Hamid, hakikatnya adalah samada keputusan yang kita ambil hari ini ataupun tidak, akan memberi kesan kepada cara kehidupan kita pada masa hadapan.

Inilah yang ingin disampaikan Tan Sri Syed Hamid di dalam isu pengangkutan samada perancangan jalanraya ataupun rel, ia melangkau satu tempoh yang panjang dan berterusan. Manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan matlamt masing-masing, menggerakkan barangan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ini yang dikatakan pakar ekonomi pengangkutan sebagai perolehan permintaan.

Oleh itu, apabila kita sedang mempertimbangkan isu pengangkutan, apabila perjalanan kita melangkau ke masa depan, kita perlu bermula dengan gambaran yang lebih besar, yang merangkumi sosial dan persekitaran ekonomi di mana pengangkutan akan memainkan peranannya. Kita bertuah di Malaysia ini, gambaran masa depan adalah jelas dan kerajaan telah secara rutin merancang untuk 15 tahun ke hadapan.

Parlimen telah pun meluluskan Rancangan Malaysia ke-11. Kesemua rancangan pembangunan 5 tahun adalah penting untuk jangkawaktu 2016-2020. Plan ini akan membawa kita ke arah objektif kebangsaan Wawasan2020 untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan ini telah diilhamkan 15 tahun lalu pada tahun 2000 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan telah diteruskan di bawah Tun Abdullah Badawi dan kini Dato 'Seri Najib Run Razak, konsistensi dalam dasarnya di mana hanya beberapa negara saja akan mampu melaksanakannya.

Tema Rancangan Malaysia Ke 11 adalah "Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat" yang membawa makna rakyat adalah penggerak utama di dalam setiap usaha pembangunan. RMK11 mempunyai enam teras strategik dan pengangkutan memainkan peranan yang penting dan secara langsung dalam semua perkara ini.

Apabila RMK11 dikaitkan dengan pertumbuhan inklusif, ia secara khusus menyatakan bahawa semua rakyat tanpa mengira jantina, etnik, tahap sosio-ekonomi dan lokasi geografinya mesti mendapat manfaat daripada pertumbuhan negara. Dalam konteks lokasi geografinya, rancangan selanjutnya menghuraikan bahawa kawasan luar bandar akan berubah dengan 'connectivity' dan mobiliti yang lebih baik.

Begitu juga, apabila membincangkan mengenai kemampanan, plan RMK11 ada menyebut keperluan karbon rendah dan sistem pengangkutan yang "energy-efficient". Apabila membincangkan mengenai teras pengukuhan infrastruktur, RMK11 menyebut keperluan untuk integrasi yang lebih baik bagi mod pengangkutan yang berlainan. Ia mengiktiraf keperluan untuk pelaburan baru dalam pengangkutan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan dan meningkatkan tahap perkhidmatan, termasuk agar rakyat mempunyai akses kepada perkhidmatan pengangkutan yang baik.

Pada tahun 1985, 46% dari kepadatan penduduk Malaysia tinggal di bandar tetapi hari ini telah meningkat hingga 72%. Hanya dalam satu generasi, kita telah berpindah dari penduduk luar bandar yang meluas dan kini menjadi penduduk utama di bandar-bandar. Trend ini dijangka akan berterusan pada masa hadapan. Penduduk bandar di Malaysia bergantung kepada kenderaan persendirian untuk memenuhi keperluan pergerakan mereka manakala nisbah mod pengangkutan awam hampir tidak mencapai 20% di kawasan Greater Kuala Lumpur.

Sistem pengangkutan awam kurang fleksibilitinya berbanding kenderaan persendirian. Sistem pengangkutan yang ideal harus seimbang di antara sistem pengangkutan persendirian dan awam di mana pergerakan yang dijangkakan boleh disediakan dengan pengangkutan awam manakala yang lain masih memerlukan pengangkutan persendirian.

Jika kita serius tentang mobiliti keutamaan rakyat untuk pembangunan sosial dan ekonomi, kita perlu mencari cara untuk memenuhi keperluannya secara mampan. Kita tidak mampu untuk membina lebih banyak jalan raya hanya untuk memenuhi permintaan mobiliti pengangkutan persendirian. Jika kita memilih kenderaan persendirian, akhirnya kita akan terus membina lebih banyak lebuh raya, lebih banyak jalan raya dan perbanyakkan lagi persimpangan jalan.

Oleh itu, kaedah yang bagus untuk memenuhi mobiliti keutamaan rakyat bermakna kita perlu mencapai keseimbangan baru di antara kenderaan persendirian dan kolektif, di antara kenderaan persendirian dan pengangkutan awam dan dengan itu bagaimana bandar-bandar dan masyarakat kita lebih teratur pada masa akan datang.

Bagi pandangan Tan Sri Syed Hamid, jika kita mahu kualiti hidup yang lebih tinggi yang sepadan dengan kemajuan material sebagai sebuah negara, maka kita tidak mempunyai pilihan tetapi untuk merubah haluan. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk melawan arus, tetapi Tan Sri yakin Malaysia mempunyai daya tahan dan sumber-sumbernya untuk melaksanakannya. Kita hanya perlukan kesungguhan secara kolektif.

Tan Sri memohon agar sama-sama berganding pandangan dan pengetahuan kerana sekiranya ia berjaya, ia akan dapat membantu memenuhi objektif RMK11 yang telah pun ditetapkan Kerajaan bagi menerajui pembangunan untuk keperluan rakyat dan juga memastikan kehidupan berkualiti yang mampan untuk semua pada masa akan datang.

Akhir sekali Tan Sri mengingatkan kepada semua bahawa sesungguhnya kita tiada mempunyai banyak waktu - hanya 5 tahun saja lagi untuk melaksanakan kesemuanya itu.

Monday, November 23, 2015

#MH370 : TAMBAHAN AUD20 JUTA DARI CHINA, MALAYSIA RAKAM PENGHARGAAN

3 penggerak utama dan pembuat keputusan dari Malaysia, Australia dan China

Lanjutan dari pertemuan PM Najib Razak dan Presiden Xi Jinping ketika persidangan APEC di Filipina, kerajaan China telah berjanji untuk menambah bantuan sebanyak AUD20 juta untuk meneruskan usaha pencarian MH370. Sumbangan ini telah diumumkan oleh Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Li Keqiang pada hari Sabtu lalu semasa pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull di Kuala Lumpur, di mana pemimpin-pemimpin Asia Pasifik berhimpun untuk mengadakan sidang kemuncak serantau.

Bagi pihak kerajaan Malaysia, Menteri Pengangkutan Datuk Liow Tiong Lai  dalam satu kenyataan akhbarnya, menyatakan penghargaan yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri Li ke atas sumbangan tersebut dan tidak dinafikan bantuan ini sudah pasti akan membantu Malaysia dan Australia meneruskan dalam misi pencarian MH370.

Datuk Liow juga telah menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada rakan-rakan anggota ASEAN yang telah menyumbang kepada pencarian MH370. Ketika Malaysia di dalam keadaan yang sangat memerlukan, negara-negara jiran telah memberi sokongan padu yang tidak ternilai, dan ini membuktikan kepada hubungan rapat di antara negara-negara sahabat.

Sejak bulan Mac tahun lepas, segala usaha telah dilaksanakan dalam mencari MH370. Pasukan kumpulan strategi pencarian yang diketuai oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, yang terdiri daripada pakar-pakar dari pelbagai organisasi antarabangsa, telah bekerjasama untuk mengkaji semula secara bebas dan menghalusi semua data yang ada yang berkaitan dengan pencarian ini telah diperolehi.

Seperti yang diumumkan pada April 2015, Malaysia bersama-sama dengan China dan Australia telah komited sepenuhnya untuk melengkapkan pencarian di laut dan telah dilanjutkan ke zon carian seluas 120,000 kilometer persegi. Lokasi ke dasar laut yang sangat dalam dengan keadaan cuaca buruk, ia terus memberi cabaran. Walau bagaimanapun, kita akan tabah dan yakin pencarian ini akan berhasil.

Sokongan di luar jangka ini, kerjasama serta persefahaman yang telah diberikan oleh Kerajaan Australia dan China telah memainkan peranan penting ketika negara mengalami musibah ini. Datuk Liow sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan Malaysia akan terus komited untuk mencari bukti-bukti MH370 di mana jua ia berada.

Malaysia Airlines MH370 hilang lebih daripada setahun yang lalu, dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang telah terkorban di mana kebanyakannya adalah penumpang dari China. Pencarian pesawat itu telah melibatkan lebih daripada 20 negara yang telah menyumbang pesawat, kapal, kapal selam dan satelit dengan menelan belanja berjumlah USD120 juta.

Baru-baru ini pada bulan Julai, penyiasat Perancis telah mengenalpasti bahagian serpihan pesawat tersebut telah ditemui terdampat di sebuah pulau terpencil di Lautan Hindi sebagai sebahagian daripada Boeing 777.

Saturday, November 21, 2015

MCA 'CHAMPION' HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA

Datuk Liow menyambut ketibaan PM Li Keqiang

Ketika Persidangan APEC di Filipina baru-baru ini, satu permintaan oleh Presiden Xi JinPing adalah untuk mengadakan perbincangan khas dengan Perdana Menteri Najib Razak. Mereka telah bertemu muka selama 45 minit dan perbincangan ini telah dianggap oleh PM Najib sebagai pencapaian yang paling tinggi didalam sejarah hubungan Malaysia-China.

Di antara persefahaman yang telah tercapai adalah Presiden Xi berjanji memberi perhatian utama kepada perdagangan ke Malaysia. Oleh itu dalam merelaisasi untuk meningkatkan perdagangan antara dua negara, Presiden Xi telah memaklumkan kepada PM Najib berkenaan perkembangan plan dan peluang China dalam "21st Century Maritime Silk Road".

Seterusnya bagi menunjukkan kesungguhan China, Perdana Menterinya pula Tuan Li Keqiang telah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di mana Kuala Lumpur adalah Pengerusinya. Sepanjang kehadiran PM Li ke Malaysia, beliau telah diiringi oleh Presiden MCA Datuk Sri Liow Tiong Lai.

Persahabatan diplomatik di antara negara China dan Malaysia telah terjalin sejak 1974 ketika era arwah ayahanda PM Najib Razak adalah Perdana Menteri Malaysia Kedua. Kini, dilanjutkan ke jalinan perdagangan dan dieratkan lagi dengan usaha gigih pemimpin-pemimpin MCA yang diketuai Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Pada bulan Mei lalu, rombongan MCA telah membuat siri lawatan ke China di atas jemputan khas kerajaan China seperti yang pernah ditulis ... DI SINI

Di atas kepercayaan kerajaan China kepada MCA, mereka telah dianggap sebagai sahabat negara China dalam inisiatif 'Silk Road Belt'.

Harapan Meneteri Pengangkutan selaku Pengerusi MCA Datuk Liow agar sistem perhubungan jalanraya diperluaskan merentasi Asia apabila jaringan rel keretapi laju KL-Singapura siap nanti.

Tragedi kehilangan pesawat MH370 juga telah dibincangkan ketika pertemuan kedua-dua pemimpin negara di Persidangan APEC. Bagi Presiden Xi, rakyat China telah mula menerima kenyataan dan kemarahan mereka telah pun berlalu. Beliau juga berjanji permintaan PM Najib Razak untuk meningkatkan pelancong China ke Malaysia diberi perhatian utama.

Seterusnya, Perdana Menteri Li dijangka meneruskan lawatannya ke Melaka bagi meninjau perkembangan projek kerjasama pelabuhan melalui inisiatif "New Silk Road". Perjanjian kerjasama telah pun ditandatangani pada September lalu di antara Ketua Menteri Melaka dan Gabenor Wilayah GuangDong untuk melihat potensi Melaka dijadikan pelabuhan antarabangsa menjelang tahun 2025... DI SINI

Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan usaha MCA yang diterajui Presidennya dan Timbalan Presidennya Datuk Wee Ka Siong kerana telah berjaya mendapat keyakinan negara China di dalam mengeratkan lagi perhubungan diplomatik dan meningkatkan perdagangan.

Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia Tenggara mewujudkan hubungan dengan kerajaan China. Persahabatan China-Malaysia sehingga ke hari ini menjadi model hubungan bagi rantau ini. Hubungan ekonomi telah membentuk asas hubungan dan sehingga kini, Malaysia telah menjadi rakan perdagangan terbesar China di ASEAN sejak tahun 2008 dan sejak MCA menerajui persahabatan ini.

Thursday, November 19, 2015

PLKN 2.0 DENGAN MODUL BARU YANG LEBIH INKLUSIF AKAN BERMULA

Bermula pada tahun hadapan, pengambilan pelatih PLKN 2.0 diberi baru apabila ia dibuat secara sukarela dan ia akan bermula untuk sesi bagi sesi Mac hingga Mei. Kepada mereka yang berminat bolehlah menawarkan diri samada melalui website JLKN atau mereka juga boleh berdaftar melalui kaunter pameran PLKN di peringkat negeri.

Ini sekali gus memberi lebih peluang kepada pelajar yang gagal menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi. Selepas keputusan pengambilan pelajar baru ke universiti dan kolej, Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan mengenalpasti mereka yang layak mengikuti PLKN.

PLKN 2.0 dijangka akan bermula pada Mac tahun hadapan dan seramai 20,000 dari seluruh negara. Kali ini, sebanyak 81 kem PLKN akan terbabit.


Projek Perintis Transformasi PLKN 2.0 dengan mengguna modul baru telah bermula sejak 17 Oktober lalu di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang dan akan berakhir pada 15 Disember. Seramai 469 pelatih yang terdiri dari 316 pelatih lelaki dan 153 pelatih perempuan telah berjaya menamatkan latihan mereka.

Sebanyak 8 modul latihan baru telah disediakan pihak kementerian dan pada bulan lalu, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Ehsanuddin Harun Narrashid telah mengumukan secara terperinci modul-modul tersebut di mana ia akan dilaksanakan dalam 2 fasa... maklumat
terperincinya boleh dibaca DI SINI.

Langkah transformasi inklusif PLKN 2.0 ini mampu menyiapkan pelatih berdepan dengan cabaran masa depan apabila modul yang diperkenalkan meliputi aspek kemahiran vokasional dan sekali gus mempersiapkan pelatih menceburi bidang pekerjaan setelah tamat latihan. Di samping itu pelatih juga diajar untuk menguruskan kewangan mereka dengan cara yang terbaik.

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) juga telah menjalinkan kerjasama dengan 10 kementerian dan sudah pun mengenalpasti sebanyak 400 institut latihan kemahiran untuk menempatkan pelatih.

Modul yang diperkenalkan dalam transformasi itu sangat relevan dengan landskap dunia dan isu semasa, sekali gus membantu generasi muda bersedia untuk berdepan pelbagai ancaman dunia pada masa ini.
 
Modul baru itu juga memberi peluang kepada pelatih mencorakkan masa depan mereka dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional, malah modul itu juga akan mengajar pelatih cara terbaik menguruskan kewangan mereka.

Sebelum perlaksanaan modul baru dalam PLKN 2.0, Kementerian Pertahanan dengan kerjasama PEMANDU dari Jabatan Perdana Menteri telah menganjurkan Hari Terbuka Transformasi PLKN pada April lalu bagi mendapatkan maklum balas, input serta idea terhadap perancangan transformasi PLKN dan rakyat juga mendapat pendedahan mengenai hasil Makmal Transformasi PLKN ini.

Wednesday, November 18, 2015

PERHIMPUNAN HARAM PEMANDU TEKSI INGKAR AKAN BERHADAPAN TINDAKAN SERIUS


Pihak polis telah pun keluarkan amaran kepada pemandu-pemandu teksi untuk tidak menyertai perhimpunan yang dirancang akan diadakan pada hari Rabu di pelbagai lokasi  di ibu negara kerana ia adalah menyalahi undang-undang. Mereka yang disabitkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11, Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kerana pihak penganjur gagal mengemukakan apa-apa kebenaran rasmi daripada pemilik tempat perhimpunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy Shukri menjelaskan bahawa perhimpunan yang dirancang oleh pemandu teksi tertentu ini hanyalah sia-sia dan tidak patriotik apabila ia hanya akan mencemarkan imej negara di kala Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah di Sidang Kemuncak ASEAN. Tarikh yang telah dipilih oleh pihak penganjur bukanlah satu kebetulan tetapi disengajakan dan YB Nancy kesal apabila mereka dimanipulasi oleh pembangkang.

Pemandu teksi sentiasa dianggap sebagai barisan hadapan dan duta kecil bergerak untuk negara ini. Sebagai warga yang bertanggungjawab, inilah masa yang terbaik untuk berkongsi kisah kejayaan tentang negara kita apabila perwakilan seluruh dunia berkumpul. Pemandu teksi perlu mengambil peluang ini untuk menggambarkan kita rakyat Malaysia dalam masyarakat yang berbilang kaum boleh hidup dengan aman, damai dan matang berdemokrasi.

Malah ia adalah tidak adil kepada pemandu-pemandu teksi lain yang bersikap baik dan berdisiplin yang telah meletakkan usaha bagi memastikan dapat meningkatkan perkhidmatan dan imej mereka.

Sekiranya di antara pemandu-pemandu teksi ingkar ini mendakwa mereka mewakili majoriti untuk membuat bantahan terhadap SPAD dan Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, NGO teksi terbesar di Malaysia PETEKMA dengan lebih 60,000 ahli di seluruh Malaysia dan lebih 9,000 ahli di Lembah Klang, memilih perbincangan di meja bulat untuk mengatasi keluhan dan masalah mereka.

Pengerusi PETEKMA En Shahril tidak menafikan bahawa mereka sememangnya terkesan dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar, namun untuk menyuarakan rasa tidak puas hati di jalanan tidak akan menjadi penyelesaian yang terbaik. Beliau juga telah memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahlinya yang terlibat.

Adalah tidak benar jika dakwaan mengatakan SPAD tidak langsung bertindak ke atas teksi-teksi Uber dan GrabCar kerana di dalam rekod SPAD, setakat ini mereka telah merampas 140 kenderaan persendirian yang digunakan secara haram mengambil penumpang. Pengendalian permohonan perkhidmatan teksi di talian pula terletak di dalam bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan bukan SPAD di mana ramai yang telah keliru.

Pada hari Sabtu lalu, kira-kira seramai 1,000 pemandu teksi, pengendali dan peserta telah berkumpul untuk berikrar memberi sokongan mereka kepada SPAD. Dalam usaha untuk mencapai matlamat mereka memperbaiki dan memberi perkhidmatan yang berkualiti semasa bertugas, mereka berjanji bahawa mereka akan bekerjasama dengan SPAD demi memartabat industri teksi dan memilih untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka kepada pelanggan.


Sementara itu dalam satu sidang akhbar bersama yang diadakan semalam di antara Petekma, Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Shah Alam Persatuan City dan Persatuan Teksi Giant Seksyen 13 Shah Alam, mereka bersama-sama bersetuju bahawa mereka yang terlibat di dalam perhimpunan haram ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SOSMA dalam usaha mereka untuk mensabotaj Sidang Kemuncak ASEAN.
 

Monday, November 16, 2015

AMANAT TAN SRI SYED HAMID YANG PERLU DIFAHAMI KESEMUA PEMAIN INDUSTRI TEKSI


Di dalam menjayakan sesuatu perancangan, yang pasti adalah kerjasama. Begitu juga di dalam usaha SPAD bagi memastikan industri teksi terus bergerak maju dan mencapai tahap yang dicita-citakan kerajaan dibawa ke tahap global, kerjasama adalah kata kuncinya.

Tidak sangka, majlis ringkas di dalam acara beramah-mesra pemain industri teksi dengan SPAD pada Sabtu lalu telah dihadiri lebih dari 1,000 pemandu-pemandu teksi, pengusaha-pengusaha dan persatuan-persatuan seluruh Malaysia terutama di kawasan Lembah Kelang, sudi meluangkan masa untuk mendengar amanat Pengerusi SPAD. Di antara yang kelihatan adalah dari PETEKMA, Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Selangor dan Wilayah, Persatuan Pemandu Teksi Port Klang serta dari Persatuan Teksi Kepong.

'Kerjasama' telah berulangkali disebut Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar di dalam amanatnya di mana beliau menjelaskan yang hanya dengan wujudnya kerjasama di antara pemain industri teksi dengan SPAD, maka setiap aspirasi dan cita-cita mampu tercapai. Dan apabila terkumpulnya sebegitu ramai pemain industri teksi di majlis ini, jelas menunjukkan kerjasama telah terjalin bersama-sama SPAD.

Jelas, SPAD dan pemain industri teksi yang terdiri daripada pemandu-pemandunya, pengusaha-pengusahanya dan persatuan-persatuannya masih sayangkanindustri teksi ini apabila sama-sama merasakan keperitan dan kesusahan dan terus ingin memperbaikinya.

Tan Sri Syed Hamid menegaskan yang SPAD sentiasa mewakili pemain-pemain industri teksi di dalam apa jua keadaan terutama di dalam menyampaikan hasrat mereka kepada kerajaan dan seterusnya berjuang bersama-sama memastikan diterima dan diluluskan kerajaan. 

Beliau juga mengingatkan bahawa SPAD bukanlah pembuat keputusan mutlak. SPAD ditubuhkan sebagai satu badan yang merancang bagi pihak kerajaan untuk kemukakan perubahan-perubahan penambahbaikan.

Selain itu, yang lebih utama adalah fungsi SPAD sebagai penyampai  dan pemudah cara segala permasaalahan yang dihadapi pemain industri teksi. Oleh itu, kaedah dan pendekatan yang dipilih SPAD adalah menerusi interaksi di dalam perjumpaan-perjumpaan dan berdialog. Hanya dengan kaedah berinteraksi saja maka SPAD akan dapat maklumbalas dan mencari keputusan yang lebih tepat.

Ramai yang masih keliru dengan bidangkuasa SPAD serta masih tidak memahami kekangan yang dihadapinya. Perlu kita fahami, sebelum sesuatu keputusan dibuat pelbagai kementerian perlu diyakinkan SPAD kerana mereka adalah pembuat dasar. Di antaranya termasuklah Kementerian Pengangkutan dan
Kewangan serta Unit Perancang Ekonomi.

Contohnya apabila ada permintaan untuk menentukan kadar tol, itu bukan di dalam bidangkuasa SPAD. SPAD sentiasa membawa cadangan pemandu teksi agar kebajikan pemandu-pemandu teksi dijaga. Justeru, cadangan memperkenalkan SOCSO disokong SPAD. Namun, apabila kerajaan membuat semakan, pemandu-pemandu teksi dikategorikan sebagai bekerja sendiri dan tidak dilindungi di bawah undang-undang SOCSO. GST juga telah menjadi keresahan pemain-pemain industri dan SPAD juga telah membawa isu ini ke pengetahuan kerajaan.

SPAD sedar persaingan hebat yang sedang dihadapi pemandu-pemandu teksi terutama di Lembah Klang apabila wujudnya kereta-kereta peribadi yang bekerja dengan sistem aplikasi seperti Uber, GrabCar dan sebagainya. Tan Sri mengingatkan bahawa perubahan permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan yang lebih baik tidak boleh ditolak dan SPAD sedang berusaha untuk mengatasinya. Sebagai langkah awal, CEO En Azharuddin telah bersetujumengadakan bengkel 2 minggu bersama PEMANDU untuk mendapat input dari pemain-pemain industri dan bekerjasama dengan semua jabatan yang terlibat.

Itulah di antara contoh yang diberikan Tan Sri mengenai kekangan yang dihadapi SPAD walaupun sentiasa dipersalahkan kononnya tidak memenuhi objektifnya.Walaupun SPAD dilempar dengan pelbagai kutukan, namun beberapa pencapaian telah diperolehi dan dinikmati pemain-pemain industri teksi. Di antaranya,kadar tambang teksi telah berjaya dinaikkan walaupun ada pihak yang menentang, TEKS1M sebagai branding untuk teksi telah berjaya diwujudkan.

Kesemua itu telah berjaya didengar dan diluluskan kerajaan kerana SPAD dan pemain industri bekerja sebagai satu pasukan. Tan Sri mengingtkan jika SPAD sentiasa dikutuk dan dituduh dengan pelbagai tohmahan, SPAD akan gagal berfungsi dan kemana pula suara mereka akan dibawa?

Tan Sri telah berulang kali mengingatkan di dalam amanatnya bahawa hanya dengan bersatu, bermuafakat dan paling penting adalah bekerjasama dengan SPAD sebagai agensi yang mewakili hati, suara dan nurani pemandu dan pengusaha teksi.

Perbezaan pendapat perlu diraikan dan kematangan bertindak dalam mengguna kebebasan pula perlu ditunjukkan. Tan Sri berpesan, SPAD tidak akanmenafikan perbezaan pendapat tetapi yang lebih utama, sama-sama mampu duduk berbincang kerana sebenarnya suara terkuat sekali adalah suara perbincangan di antara kerjasama dan bukan suara demonstrasi jalanan. Pesanan Tan Sri lagi, niat yang baik mesti juga dilaksanakan dengan kaedah dan cara yang baik.

Oleh itu, pada 18hb ini kesemua pemain industri teksi perlu menunjukkan kematangannya dalam sebuah negara demokrasi kepada pemimpin-pemimpin seluruh dunia yang akan berkumpul di Kuala Lumpur di kala Malaysia adalah Pengerusi kepada ASEAN.

Akhir sekali, Tan Sri mengingatkan bahawa di antara SPAD dan pemain industri teksi mempunyai matlamat dan tujuan yang sama untuk bersama-sama mempertahan dan memartabatkan industri teksi. SPAD akan sentiasa beri sokongan dan semua ini akan hanya berhasil apabila pemain-pemain industri sebagai barisan hadapan menggunakan platform yang betul dan bersama-sama memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan.

Sunday, November 15, 2015

DATUK WEE - MCA TIDAK BOLEH TERIMA PERANGAI BIADAP ALVIN TAN



Mahupun dahulu dipanggil Tanah Melayu dan kini Malaysia, sejarah lebih berabad lalu telah menunjukkan kita telah mampu dan berjaya hidup sebagai rakyat yang bersatu di dalam berbilang kaum dan fahaman agama. Kita rakyat Malaysia telah bersatu untuk mencapai kemerdekaan. Kini kita bersatu mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Barisan Nasional telah berjaya memupuk perpaduan di antara kaum dan anutan agama dan atas semangat bersama sayangkan negara, maka Timbalan Pengerusi MCA Datuk Wee Ka Siong bangkit untuk menegur perbuatan biadap Alvin Tan.

Ini bukan kali pertama Alvin Tan  memuat naik video yang mencemar ugama Islam dan menghina orang melayu tetapi beberapa siri penghinaan telah sengaja dipertontonkan. Walau apa pun pandangan rakyat Malaysia, MCA telah ke hadapan untuk mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan biadap Alvin.

Terkini apabila Alvin mengeluarkan gambarnya menghina Al Quran, sebagai rakyat Malaysia dan pemimpin politik sebuah parti terbesar bangsa Cina, Datuk Wee tidak dapat berdiam diri dan sekali lagi mengutuk perbuatan yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun di negara ini.

Malangnya, tidak terdetik sedikit pun datang dari mana-mana pemimpin pembangkang DAP mahupun PKR yang berbangsa Cina. Dengan berdiam diri, maka kita faham akan pendirian mereka samada bersetuju dengan penghinaan Alvin ataupun mereka langsung tidak sensitif justeru tidak ikhlas menghormati orang Melayu dan agama Islam.

MCA tidak perlu bersandiwara dalam menghormati rakan-rakan berpolitiknya. Lain pula yang pernah ditunjukkan DAP sehingga sanggup membaca ayat-ayat Al Quran dan hadis, walaupun salah sebutannya, hanya untuk memancing undi orang Melayu. Lakonan DAP  serupa juga Alvin di mana, mereka sanggup menembusi masjid serta surau untuk berpolitik. Bezanya hanyalah DAP menghina secara halus tetapi Alvin menghina secara melampau.

Mana mungkin membenarkan seseorang yang tidak mengamalkan hadas besar dibenarkan memasuki masjid dan surau tetapi pihak pembangkang telah menutup mata demi kepentingan politik mereka.

MCA tidak perlu sehingga berjumpa pengundi-pengundi Melayunya di dalam masjid mahupun surau, tetapi kerana memahami dan ikhlas menghormati penganut agama Islam, mereka lebih selesa bertemu dan meraikan mereka di setiap sambutan perayaan umat Islam.

Inilah kegagalan DAP dan PKR serta PAS. Mereka gagal membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai sikap saling hormat-menghormati dan perlu memahami budaya orang lain. Ini jelas terbukti dengan adanya sikap biadap seperti Alvin Tan.

Thursday, November 12, 2015

PRESIDEN MCA : MESEJ DEEPAVALI - RAIKAN PERPADUAN




Tiada yang lebih indah di Malaysia ini, apabila pelbagai bangsa yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India dapat meraikan pelbagai perayaan bersama-sama sebagai sebuah keluarga. 

Di dalam semangat sebagai satu pasukan berpolitik di dalam keluarga Barisan Nasional, MCA yang mewakili bangsa Cina mengambil kesempatan mengucapkan Deepavali Nal Valthukkal khususnya kepada rakan-rakan MIC dan semua rakyat India yang meraikannya.

Di dalam sebuah negara yang kaya dengan pelbagai kaum, adat dan warisan, MCA juga telah turut meraikan bersama-sama rakan-rakan MIC di dalam Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Batu Caves bersama-sama Perdana Menteri Najib Razak.

Di kesempatan ini juga, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menyeru kepada semua rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa dan agama untuk mengeratkan lagi hubungan dengan mengukuhkan semangat perpaduan dan mengekalkan kekayaan warisan pelbagai kaum di negara ini.

Walaupun MCA mewakili bangsa Cina, namun pengetahuan mereka mengenai perayaan bangsa lain tidak pernah ketinggalan malahan bersama-sama berkongsi ucapan sesama pemimpin dan ahli-ahlinya. 

Di antara mesej yang disampaikan Presiden MCA adalah;
1. Ambillah kesempatan di hari perayaan untuk eratkan hubungan di antara keluarga dan rakan.
2. Ikatan perpaduan di antara pelbagai kaum dan bangasa adalah kekuatan Malaysia.
3. Terima perbezaan dan elakkan perpecahan. Kekal dan perkukuhkan keharmonian.
4. Selaku Menteri Pengangkutan, beliau mengingatkan agar memandu dengan selamat dan berjaga-jaga di perjalanan demi keluarga dan pengguna jalanraya yang lain.
Teks penuh ucapan dan pesanan Datuk Seri Liow;

 Sekali lagi dari MCA untuk rakan MIC dan mereka yang menyambut perayaan ini... Deepavali nal valthukkal

Tuesday, November 10, 2015

PERUBAHAN BESAR AKAN DILAKUKAN SPAD UNTUK INDUSTRI TEKSI


Industri teksi merupakan salah satu bahagian penting dalam pengangkutan awam di negara. Sejak SPAD mula beroperasi pada tahun 2011, ia telah membuat satu ketatapan untuk meningkatkan industri teksi dan pelbagai usaha telah dijalankan di dalam program transformasi teksi.

Kita masih ingat lagi beberapa langkah yang telah diusahakan SPAD seperti pengenalan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) seawal tahun 2012 di mana seramai 76,000 pemandu teksi telah menerima baucar tayar baru, Liputan Personal Accident Insurance (PA), pengecualian cukai jalan, subsidi tol sebanyak 50% dan pengecualian cukai eksais dan jualan bagi pemegang lesen individu.

Ini juga diikuti dengan pengenalan Teksi 1Malaysia (TEKS1M) kelas lesen pada tahun 2013 untuk menangani isu-isu berkaitan dengan kualiti pemandu, serta standard kenderaan dan operasi. Pada Mac tahun ini pula, SPAD juga telah mengumumkan penstrukturan semula tambang ke atas tambang teksi untuk memberi gambaran kos operasi semasa.

Namun, di dalam kajian SPAD, industri teksi masih berhadapan dengan beberapa isu yang telah lama wujud untuk beberapa dekad lalu. Kesulitan utama yang membelenggu industri teksi adalah apabila mereka mewarisi sistem pajak dan legasi teksi lama. Legasi yang diwarisi ini mendapat perhatian SPAD untuk dikajisemula dan diperbaiki agar ia lebih telus dan memberi faedah yang saksama kepada kedua-dua pemandu dan pengendalinya.

Setiap kali SPAD merancang untuk membawa perubahan dan penambahbaikan, pendekatan yang diamalkan adalah proses perundingan dan perjumpaan di dalam siri mesyuarat, dialog dan sesi perbincangan. Ini tidak terkecuali di dalam melaksanakan program-program transformasi teksi di mana persatuan dan juga pengendali teksi serta pihak-pihak berkepentingan mengambil bahagian menyertai sesi perjumpaan SPAD.

Pihak SPAD amat terbuka untuk mendengar pandangan pemandu teksi serta membincangkan isu-isu yang membebankan mereka dan dengan pandangan 'first hand' ini, maka setiap pihak berkepentingan dapat diambil kira dan diatasi.

Proses rundingan dan perjumpaan ini dilakukan sepanjang tahun. Pada bulan Oktober dan November sahaja, sebanyak 5 sesi pertemuan yang melibatkan lebih dari 250 pihak berkepentingan di dalam industri teksi. Di antara yang terlibat termasuklah gabungan, persatuan teksi dan pemandu-pemandu.

Dari maklumbalas perjumpaan-perjumpaan ini, SPAD sedang mengusahakan penyelarasan perkhidmatan teksi dengan melakukan perubahan besar termasuk mengusulkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, yang akan meliputi kajian semula pengawalseliaan, mengkaji semula dasar-dasar pelesenan yang sedia ada.

SPAD juga akan memberi tumpuan khas kepada usaha-usaha untuk menambahbaik perkhidmatan kepada pengguna dan meningkatkan daya saing dan kebajikan pemandu. Di dalam mencapai objektif ini, SPAD juga akan memberi keutamaan kepada pengguna, menyokong teknologi dan inovasi mesra
pengguna serta akan sentiasa terbuka kepada perkembangan terkini serta mewujudkan persaingan adil yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Pada masa yang sama, SPAD juga sedang berusaha keras di dalam meningkatkan taraf perkhidmatan teksi dan mencadangkan perubahan-perubahan yang amat penting, termasuk mengusulkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Ini akan melibatkan semakan terhadap aspek-aspek kawalselia secara menyeluruh dan mengenal pasti model perniagaan terbaik bagi industri teksi.

Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, namun SPAD tetap komited untuk memenuhi dan mencari jalan penyelesaian untuk setiap isu yang diketengahkan. Oleh itu, kepimpinan dan kerjasama daripada pihak-pihak berkepentingan diperlukan agar satu perubahan besar dapat memberi manfaat kepada semua pihak termasuk penumpang dan pada masa yang sama kekal adil kepada pemandu, pengusaha dan peserta baru di dalam industri teksi ini.

Sunday, November 08, 2015

PLAN STRATEGIK 10 TAHUN PENGANGKUTAN ASEAN TERMETERAI DI KUALA LUMPUR


Selepas Pelan Tindakan Brunei 2011-2015 yang telah mencapai hampir 90% kejayaan perlaksanaanya, kini Plan Tindakan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur (KLTS) 2016-2025 telah termeterai di antara Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN di dalam mesyuaratnya yang ke 21. Fokus plan strategik 10 tahun ini adalah untuk memperkukuhkan sektor pengangkutan udara, darat dan maritim di antara negara-negara anggota ASEAN.

Tiga negara rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea Selatan juga turut serta di dalam mesyuarat ini yang telah berlangsung selama 2 hari sejak hari Khamis lalu. 30 matlamat, 78 pelan tindakan dan 221 tanda aras telah digariskan bagi mengukuhkan pengangkutan mampan dan kemudahan pengangkutan.

Di dalam plan KLTS, sasaran terbesar semua negara anggota di dalam pengangkutan darat adalah untuk mengurangkan kemalangan maut dalam tempoh 5 tahun akan datang. Oleh itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya atau MIROS telah dilantik sebagai Pusat Keselamatan Jalan untuk Asia Tenggara bagi mengguna pakai amalan pengurusan keselamatan jalan raya yang baik dan mempromosi serta mendidik negara Asean mengenai keselamatan jalan raya.

Dalam pengangkutan udara, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah umumkan polisi 'Open Skies' sebagai topik penting di dalam mesyuarat ini bagi merealisasikan liberalisasi sektor penerbangan ASEAN sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di rantau ini pada tahun 2030 nanti. Datuk Liow juga telah memaklumkan negara-negara anggota ASEAN telah menandatangani 3 perjanjian 'Open Skies'.

Bagi pengangkutan maritim pula, satu koridor pelayaran telah dirancang untuk diwujudkan pada tahun 2019 di mana 47 pelabuhan dihubungkan di negara-negara anggota. Datuk Liow juga mengumumkan selain daripada pelabuhan di Melaka dan Kuantan, negara-negara Asean sedang berusaha membentuk "port-alliances' dengan China.

Selain itu, perkara-perkara berkaitan Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN, Pasaran Perkapalan Tunggal ASEAN, pelepasan gas rumah hijau, tenaga lestari, pengurangan pencemaran daripada pengangkutan dan hubungan serantau dengan negara China, Jepun dan Korea Selatan telah mendapat perhatian serius.

Sektor pengangkutan menyumbang 22.9 peratus daripada pelepasan gas di Malaysia, manakala pengeluaran tenaga terus menjadi penyumbang terbesar pelepasan gas iaitu kira-kira 54.9 peratus. Oleh itu Malaysia sangat komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 40 peratus yang selaras dengan ikrarnya ketika Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2009 di Copenhagen. Oleh yang demikian Malaysia dan negara anggota ASEAN akan berganding bahu bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Plan Tindakan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur (KLTS) yang telah berjaya termeterai di Kuala Lumpur inilah pelan induk untuk terus melangkah ke hadapan dalam sektor pengangkutan di rantau ASEAN nanti.

Thursday, November 05, 2015

PERSOAL PERUNTUKAN PEMBANGUNAN JPM, DATUK EHSAN MENJAWAB

Ketika perbahasan Bajet 2016 oleh MP Kota Tinggi Datuk Ehsan, beliau menyentuh mengenai bajet Jabatan Perdana Menteri di mana ia merupakan salah satu daripada peruntukan yang agak besar di mana hampir RM45 bilion untuk pengurusan dan hampir RM20 bilion untuk pembangunan.

Malangnya, soalan yang diterima ketika perbahasan yang datang dari Ahli Parlimen DAP Kluang Liew Chin Tong sangat menjelekkan. Soalannya seperti di dalam hansard Parlimen;


Tentang peruntukan untuk JPM. Sebenarnya RM8.5 bilion dalam peruntukan pembangunan itu bukan untuk agensi tetapi untuk Perdana Menteri dan untuk beliau berikan kontrak ataupun projek secara budi bicara ataupun ikut suka hati. Minta komen.  

Jelas sekali Liew ingin menuduh yang PM sengaja wujudkan peruntukan pembangunan ini tanpa melihat pecahan peruntukan pembangunan. Samada sengaja diajukan soalan yang berbentuk tuduhan atau sekadar membuat provokasi, Datuk Ehsan menjelaskan pandangan yang jauh tersasar dari MP DAP seperti berikut;

Di antaran peruntukan pembangunan Bajet 2016 untuk agensi adalah;

RM5.6 bilion itu untuk UKAS atau Unit Kerjasama Awam Swasta bertujuan untuk menggalakkan penglibatan swasta bagi merancakkan pelaburan domestik tanpa terlalu bergantung kepada pelaburan asing. Datuk Ehsan memberi contoh ketika membuat jalan raya yang bernilai RM1.1 bilion dari Johor Bahru ke Nusajaya yang telah dibiayai melalui UKAS. Akhirnya dengan wujudnya 'trunk road' yang lebar ini, pembangunan di Iskandar menjadi sangat rancak.

Datuk Ehsan juga menjelaskan pendekatan baru yang kerajaan perkenalkan sebagai 'facilitation fund' telah mendapat tambahan sebanyak RM3 bilion. Contoh yang diberi apabila ketika kerajaan membuat MRTdan LRT, kedudukan tanah kebanyakannya adalah di Selangor yang nilainya tersangat tinggi. Maka segala pembelian tanah juga tinggi dan memerlukan peruntukan yang dibiayai kerajaan dengan harga yang sangat tinggi.

Daripada tambahan tersebut, RM2.6 bilion adalah untuk pembanguan koridor seperti Iskandar, ECER dan SKOR yang mampu merancakkan ekonomi.

Apabila kerajaan berjaya merancakkan ekonomi, maka apakah Bajet 2016 tidak memberi sumbangan kepada rakyat? Apakah dakwaan DAP yang Bajet 2016 dengan sengaja memotong peruntukan untuk rakyat adalah tepat? DAP sekadar melihat kepada pembahagian angka dengan memberi contoh pengurangan peruntukan beberapa Kementerian seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.

Seperti ulasan di atas dari Datuk Ehsan, DAP gagal melihat perancangan kerajaan dalam sekala yang lebih besar untuk dimanfaatkan rakyat di semua peringkat. Apa yang nak diharapkan DAP tetapi sekadar bermain politik sahaja. Pada masa yang sama, DAP juga seperti ingin menggagalkan ekonomi negara dirancakkan.

Jangan kata Kementerian-Kementerian itu saja yang akan memanfaatkan kerancakan ekonomi, DAP juga pasti akan merasakan dan pasti tidak lepas peluang mengambil kesempatan.

Peruntukan rakyat dipotong, peruntukan ‘Najib’ ditambah yang bakal dijaja DAP keseluruh negara bukan mudah untuk dihidu motifnya. Inilah juga akan menjadi alasan pembangkang untuk menolak Bajet 2016 dan sekali gus cuba untuk menjayakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Najib Razak.

Malangnya, para barisan ahli-ahli Parlimen Kerajaan seperti Datuk Ehsan awal-awal lagi telah berjaya menepis dan menggagalkan motif pembangkang. Kepada rakyat pula, sebelum telan bulat-bulat hasutan pembangkang, rujuklah kepada pemimpin-pemimpin seperti Datuk Ehsan untuk mendapatkanpenerangan yang lebih berfatka dan jujur.