Wednesday, June 10, 2015

'myBAS' - SELEPAS SEREMBAN, KINI DI PERLIS DAN KEMUDIAN DI SELURUH MALAYSIA

Masih ingatkah lagi apabila SPAD telah umumkan Seremban dipilih sebagai ibu negeri pertama menikmati sistem pengangkutan bas henti-henti? Blog ini telah menulis... DI SINI

Projek myBAS adalah sebahagian daripada program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti, yang bertujuan untuk meletakkan bas di kebanyakan laluan yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam di Malaysia.

Sehubungan itu, bertepatan dengan perancangan SPAD untuk memastikan sistem bas henti-henti ini beroperasi di ibu negeri lain, seterusnya bas henti-henti yang dikenali sebagai 'myBAS' telah menyusuri negeri Perlis melalui Kangar, Arau, Padang Besar sehingga sampai ke Wang Kelian. Operasi myBas bermula dari 6 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Pihak SPAD umumkan 24 buah myBAS untuk 15 laluan di Perlis dan 107 bas untuk 24 laluan di Seremban termasuk di sekitar Nilai. Bas henti-henti ini dijangka melebarkan laluannya sehingga ke Senawang, Tampin, KLIA, Broga dan Port Dickson. MyBas dijangka mampu membawa seramai 7.47 juta penumpang di Seremban dan 870,000 penumpang di Perlis setiap tahun.

Pada awalnya, SPAD merancang untuk memulakan operasi myBAS seawal bulan April, namun di atas faktor hampir 90% bas yang digunakan adalah bas-bas baru, maka proses pemasangan mengambil masa sedikit masa dan ini menyebabkan kelewatan. Di samping itu, kesemua myBAS akan dilengkapi dengan mesin tiket elektronik dan ujian demi ujian ketepatan kadar tiket juga telah mengambil masa yang agak lama.

Walaubagaimanapun, pihak SPAD yakin operasi perkhidmatan myBAS akan dapat dimulakan pada hujung bulan Jun ini.

Seperkara lagi, Kuala Terengganu akan mengeluarkan model myBASnya sendiri dan dijangka memulakan operasi pada Oktober tahun ini juga. Segalanya masih menunggu untuk memuktamadkan kontrak serta kos operasi kenderaan. SPAD menjangkakan kontrak akan dimeterai pada bulan ini.

Selepas Kuala Terengganu, kontrak myBAS akan dimeterai di Kuching pada bulan hadapan dan bagi Ipoh pula, tender dan proses penilaian telah pun dimuktamadkan dan kontrak akan ditandatangani pada akhir tahun ini.

Kesemua kontrak yang dimeterai adalah untuk pengendali tempatan di Semenanjugn Malaysia dan termasuk Kota Kinabalu dan Kuching dan sehingga tahun 2020, kerajaan dijangkakan membelanja sebanyak RM2.7 bilion.

Dengan program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti ini, bukan sahaja rakyat dan penumpang bas mampu menikmatinya, malahan ini adalah satu kaedah terbaik untuk selamatkan pengusaha bas henti-henti yang sedang berhadapan persaingan sengit dengan pengangkutan awam lain dan juga satu cara mengatasi kesesakan lalu lintas di mana, kebanyakan penduduk di Malaysia telah mempunyai kenderaan sendiri.

No comments:

Post a Comment