Wednesday, April 15, 2015

AWAS KERETA SAPU 'EASY TAXI' ...


Memang bijak untuk sesetengah orang mengambil kesempatan bagi membuat keuntungan dalam situasi-situasi mendesak. Oleh kerana ibukota Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Kelang akan sentiasa mengalami kesesakan lalulintas dan pastinya teksi adalah kaedah pengangkutan menjadi pilihan ramai. 

Pergerakan bukan saja menjadi lancar, malahan masalah untuk mendapatkan parkir serta kadar parkir yang agak mahal juga merupakan mengapa wargakota lebih senang memilih untuk menaiki teksi.

Mengambilkira masalah perjalanan wargakota ini, maka timbullah pelbagai cara terutama menempah teksi secara online melalui aplikasi di telefon pintar.

Pernah terjadi pada tahun lalu, syarikat tempahan teksi online Uber telah mendapat sambutan baik dan pada masa yang sama, pihak berkuasa mendapati syarikat Uber tidak berdaftar dengan SPAD yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada kenderaan awam dan peribadi yang menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai dengan menerima upah.

Pihak kerajaan tidak pernah menghalang penggunaan teknologi moden yang sesuai dengan permintaan zaman, malahan menerima baik sekiranya  syarikat yang mengendalikan aplikasi seperti tempahan teksi berdaftar secara sah dan rasmi.


Kini, setelah aduan demi aduan didapati satu lagi perkhidmatan tempahan teksi melalui aplikasi telefon iaitu EasyTaxi sedang beroperasi secara haram dan berleluasa di sekitar ibukota dan Lembah Kelang.

Pihak penguatkuasa SPAD telah menjalankan satu operasi khas iaitu Ops REVUS TEGAS bagi membanteras aktiviti kenderaan yg memberi perkhidmatan tanpa Lesen pada 14 April lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Ini adalah sebenarnya pertama kali SPAD dapat memberkas teksi-teksi tanpa lesen sah dari SPAD yang mengguna aplikasi EasyTaxi setelah dilancar sebulan yang lalu.


Seperti kenyataan  Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, yang penting kehadiran dan tindakan SPAD dirasai kereta-kereta sapu ini. Kereta-kereta persendirian ini dikategori sebagai kereta sapu oleh SPAD adalah bertepatan apabila tidak mempunyai lesen sah dari SPAD dan akibatnya mampu membahayakan penumpang. Apabila tidak berdaftar, penumpang tidak akan mampu dilindungi insuran sekiranya berhadapan dengan sebarang kemalangan.


Sebelum itu, pada 9 April 2015, operasi bagi banteras kegiatan Ulat dan Kereta Sapu juga telah dijalankan di KLIA dan KLIA2 dengan gabungan anggota dari PDRM dan AADK. Di antara yang berjaya diberkas adalah 9 kereta prebet sapu, 5 kes positif Syabu dan 4 Ulat Teksi.


Pepatah melayu ada berkata, sepandai-pandai tupai melompat tetapi akhirnya jatuh ke tanah jua dan inilah peringatan yang perlu diberi kepada kereta-kereta sapu walaupun melalui aplikasi telefon. Tidak ada salah mencari rezeki lebih tetapi perlulah menghormati undang-undang dan berlaku adil kepada mereka yang mencari rezeki secara halal.

No comments:

Post a Comment