Sunday, March 15, 2015

MOU YPPM dan KUIN bersaksikan YAB Perdana Menteri



Kehadiran YAB Perdana Menteri, DS Najib Razak memberi seribu makna kepada institusi pondok di dalam majlis MOU Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dan Kolej Universiti Insaniah. Di dalam majlis ini juga, dengan rasminya Pusat Kajian Pondok (PKP) ditubuhkan dan perlantikan Datuk Dr Mashitah sebagai Pengarah PKP juga turut mendapat sokongan Perdana Menteri setelah diumumkan Senat KUIN sebelum ini.


Sokongan PM kepada Datuk Dr Mashitah
Kerjasama strategik di antara YPPM dan KUIN ini adalah bermatlamat menjalankan kajian yang lebih menyeluruh dan meluas terhadap institusi pondok dan sistem pengajiannya di dalam dan luar negara agar khazanah ilmu dan pengetahun mengenai pondok dapat ditambah.

Yayasan Pondok akan sediakan kepakaran dan jaringan manakala KUIN pula menyediakan kemudahan penyelidikan seperti perpustakaan serta logistik untuk program dan aktiviti. Di antara skop kerjasama pula meliputi bidang penyelidikan, perkongsian sumber dan kemudahan kajian akademik, penganjuran majlis dan wacana ilmu.




Penubuhan Pusat Kajian Pondok ini juga dianggap sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang tentunya memberi tumpuan kepada penyelidikan yang terperinci dan menyeluruh dalam pelbagai aspek yang berkenaan pondok. Ini termasuk mengumpul segala khazanah sumbangan ulama dan tokoh pondok.

Masadepan pengajian pondok juga akan diperincikan di mana isu-isu berkaitan pembangunan, perkembangan dan pengaruh pondok dikaji dan direkodkan.

Pondok adalah sistem pendidikan tertua di negara ini dan telah dibuktikan melalui kajian sejarah tanahair. Ia bermula seawal abad ke-16 yang telah diasaskan oleh pedagang dari Timur Tengah yang pada masa yang sama mengembangkan syiar Islam kepada penduduk tempatan.

Setelah Islam bertapak dan mula berkembang pada abad ke-18, pengajian pondok dibangunkan dengan pertambahan penuntutnya dan kemuncaknya dari pertengahan abad ke-19 hinggalah negara merdeka.

Kajian pondok di PKP akan merentasi sehingga ke luar negara termasuk ke Nusantara dan diperluas sehingga Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Dengan termeterainya MOU di antara YPPM dan KUIN serta perlantikan Datuk Dr Mashitah Ibrahim sebagai Pengarahnya, selangkah lagi kejayaan untuk menaikkan martabat warga pondok di negara ini.

Adalah menjadi harapan agar penuntut-penuntut pondok dapat memanfaatkan juga platform yang diusahakan YPPM ini agar masa depan mereka terbuka luas dan masyarakat di negara ini dapat bersama-sama berkongsi ilmu dan juga lebih memahami ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment