Tuesday, March 17, 2015

APA MENARIKNYA KOTA TINGGI SEHINGGA MENTERI PELANCONGAN TURUN PADANG?


Dahulu Kota Tinggi dikenali sebagai Kota Johor Lama pernah menjadi pusat pentadbiran negeri Johor yang kini kekal dalam kenangan sebagai payung peradaban warisan sebuah kesultanan melayu pada akhir abad ke16.

Terkenal dengan kesan-kesan sejarahnya yang menunjukkan peristiwa kesinambungan Kesultanan Melayu dan kehebatan kerajaan Johor yang merupakan satu-satunya kerajaan di Tanah Melayu yang berupaya menentang Portugis.

Di abad kini pula, Kota Tinggi menjadi tumpuan pelancong bukan kerana peninggalan sejarah sahaja tetapi telah mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara kerana alam sekitarnya.

Oleh kerana faktor sejarah dan tarikan alam sekitarnya, maka kehadiran Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato Seri Nazri Abdul Aziz ke Kota Tinggi baru-baru ini telah ketengahkan Kota Tinggi sebagai salah satu destinasi pelancongan di negara yang perlu di letakkan dalam diari percutian.

Seperti saranan Dato Seri Nazri yang menggalakkan promosi pakej pelancongan di mana kedudukan Kota Tinggi dapat menarik pelancung rakyat Singapura yang merupakan penyumbang terbesar  pelancong ke Johor. Satu sekretariat juga akan ditubuhkan kementerian bagi membantu meningkat potensi pelancongan.

Selain tempat-tempat yang penuh sejarah, Kota Tinggi juga mempunyai destinasi pelancongan lain seperti Wetland Belukar Durian, Muzium Johor Lama, Lotus Desaru Beach Resort, Desaru Damai Beach Resort serta Desaru Fruit Farm.

Kepada peminat makanan laut pula, Kota Tinggi menghidangkan Restoran Terapung Bujang FireFly di Pekan Penawar yang pada waktu malamnya kita boleh menikmati kilauan cahaya dari serangga kelip-kelip.

Manakala para pelancong akan berasa selesa dengan penginapan seperti homestay, chalet berkonsepkan hutan lipur yang juga terdapat river cruise, pakej percutian rumah rakit untuk kaki pancing ke Kota Tinggi.

Bukan sekadar mencantikkan dan menyediakan infrastruktur tempat pelancongan, malahan setiap tempat menarik dalam kawasan parlimen Kota Tinggi ada penceritaannya supaya pelancong lebih memahami dan mendapat maklumat luas. Ini juga sebagai satu tarikan terutama kepada mereka yang menggemari sejarah sesuatu tempat.

Rakyat Kota Tinggi seharusnya berbangga apabila Ahli Parlimennya, Datuk Ehsan berjaya mendapat perhatian Menteri Pelancongan untuk turun melihat sendiri usaha yang telah dilaksanakan untuk dimajukan lagi dan seterusnya meletakkan Kota Tinggi sebagai destinasi yang tidak boleh dilepaskan setiap pelancong luar negara serta diingati dan perlu dikunjungi pelancong tempatan.

Kepada rakyat Malaysia, destinasi cuti anda seterusnya, pasti ke Kota Tinggi....

No comments:

Post a Comment