Monday, December 29, 2014

KE ARAH PENGAJIAN PONDOK MODEN

Pertemuan Tan Sri Muhyiddin dengan YPPM

Peruntukan RM25 juta yang diumumkan Perdana Menteri dalam Bajet 2015 untuk pengajian pondok sebenarnya adalah lanjutan daripada peruntukan RM100 juta kepada pembangunan sekolah agama rakyat yang telah diumumkan dalam bajet 2014.

Seperkara lagi, peruntukan ini akan diagihkan kepada sekolah pondok yang berdaftar dengan Kementerian Pendidian sahaja serta mengikuti kurikulum yang diluluskan kerajaan.

Langkah pertama yang diambil Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) adalah menjalankan kempen sepanjang tahun hadapan supaya lebih banyak sekolah-sekolah pondok berdaftar dengan Majlis Agama negeri bagi melayakkan mereka mendapat bantuan.

Kempen yang akan dijalankan ini bukan sekadar untuk melengkapkan direktori pondok tetapi bertujuan memberi penjelasan kepada pengasasnya bahawa pihak Majlis Agama tidak akan ambil alih atau mencampuri soal pengurusan dan pentadbiran sekolah-sekolah pondok mereka.

YPPM sebenarnya telah membuat kajian selidik ke atas pondok yang tidak berdaftar dan di antara alasan yang diberikan termasuklah mereka tidak berasa ada keperluan untuk berbuat demikian dan pondok yang mereka uruskan adalah bersifat sementara.

Kajian awal YPPM ke atas profil dan status pondok di Malaysia juga telah digerakkan. Ia meliputi sejarah dan latar belakang, kurikulum dan sistem pengajian, tenaga pengajar dan pelajar, kemudahan asas dan infrastruktur, serta tahap penggunaan ICT.

YPPM perlu menyiapkan kajian ini dan diberi tempoh enam bulan untuk diserahkan kepada kementerian satu laporan komprehensif.

Walaubagaimanapun, di dalam masa yang sama pihak YPPM sedang mengkaji kriteria pondok yang bakal menerima bantuan dan akan diumumkan kelak.

Di dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 November lalu, beliau telah menyambut baik dalam usaha mentransformasi dan memodenkan pengajian pondok agar lebih maju dan berdaya saing sebagai sistem pendidikan Islam.

Sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk dan wakil dari YPPM akan bersama-sama membincangkan kaedah serta memperincikan langkah bagi memperkemas kurikulum, memperkenalkan teknologi komunikasi dan maklumat di samping memantapkan pengurusan dan pentadbiran pondok.

Tan Sri Muhyiddin telah menggariskan 4 aspek kritikal dalam meningkatkan taraf institusi pengajian pondok;
Pertama, pengisian atau kurikulum yang standard, agar tahap dan mutu pembelajaran dapat dinilai. Ia juga mempertimbangkan subjek soft skills, termasuk keusahawanan, bahasa Inggeris dan Mandarin.

Kedua, mutu tenaga pengajar di pondok. Kementerian Pendidikan berkeupayaan memberi latihan bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran guru pondok.

Ketiga, persijilan dan masa depan lulusan pondok. Ini membuka peluang lebih baik kepada mereka yang berpendidikan pondok untuk mencebur diri dalam pelbagai bidang.

Keempat, perubahan sikap kalangan ulama, mudir, pengasas atau pemilik pondok yang harus berfikiran lebih terbuka dan berwawasan demi kelangsungan pondok mereka sendiri. Pondok tidak lagi wujud dalam era dinosaur, tapi dalam era ICT.

Bagi memantap dan memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan ilmu dan kemajuan negara, YPPM mencadangakan agar perpektif Islam diperluaskan ke universiti di negara kita.

Kini universiti seperti Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin, sudah ada kursus yang mencantumkan Islam dengan perubatan, ekonomi dan perniagaan, serta undang-undang.

Blog ini juga telah menulis kemampuan pengajian pondok sehingga di bawa global di mana pondok-pondok di Indonesia dan Thailand telah pun dinaiktaraf ke peringkat universiti.

No comments:

Post a Comment