Friday, November 14, 2014

SELEPAS UGUT, DIBERI PULA KEBEBASAN... KINI PENGUSAHA BAS SEKOLAH TAKUT BERSAING?


Pada bulan Januari lalu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) telah mengugut untuk menghentikan operasi jika SPAD meneruskan dengan tindakan perundangan ke atas tuntutan mereka menaikkan tambang sebanyak 40 peratus. Alasan kenaikan yang dituntut, seperti biasa iaitu untuk menampung kerugian sedia ada semenjak lima tahun yang lepas.

Akhirnya bagi mengatasi masalah ini, SPAD telah membuat keputusan untuk deregulasi tambang bas sekolah di mana SPAD tidak akan lagi menetapkan sebarang harga siling atau maksimum yang boleh dikenakan oleh pengendali bas sekolah. Ini juga bermakna pengendali bas sekolah bebas untuk menawarkan perkhidmatan mengikut kemampuan ibubapa.

Sejak ditubuhkan pada 2010, SPAD belum pernah mengumumkan kadar tambang yang baru. Perlu kita ingat bahawa kadar tambang sekarang adalah kadar yang telah diluluskan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada bulan Ogos 2009.

Setelah SPAD diasak, dilempar dengan pelbagai tuduhan dan diugut, kini PPBSM kembali memohon agar SPAD membantu mereka menentukan harga siling tambang bas sekolah bagi berunding dengan ibu bapa. Bukankah dengan memberi kebebasan, pengusaha-pengusaha bas sekolah ini akan lebih
kompetitif dalam perkhidmatan mereka?

Lagipun panduan dari LPKP telah pun diwujudkan Kementerian Pengangkutan, apa masalahnya?

CEO SPAD
Ketegasan SPAD disuarakan CEO, Mohd Nur Ismal Kamal di mana suruhanjaya itu tidak bercadang memperkenal kadar siling baru. Beliau menyarankan agar pengendali bas sekolah tidak mengenakan tambang yang melampau dan yakinkan ibubapa dengan tambang yang berpatutan. Seandainya SPAD menentukan kadar siling tambang, kesukarannya adalah kos operasi yang berbeza-beza di antara bandar dan luar bandar serta saiz dan usia bas yang juga berbeza.

Apa yang SPAD akan pantau adalah sekiranya berlaku suasana monopoli atau anti-persaingan. Di samping itu, SPAD akan memantau tahap perkhidmatan yang diberikan pengendali bas sekolah. Langkah deregulasi ini adalah usaha SPAD dalam meningkatkan keselamatan dan mutu perkhidmatan bas sekolah demi keselesaan murid-murid sekolah.

Oleh itu, SPAD masih akan memainkan peranan yang besar dalam memastikan perkhidmatan bas sekolah yang akan diwajibkan (bermula dari 1 Januari 2015) untuk mengamalkan garis panduan SPAD ICOP SHE untuk memastikan keselamatan menerusi Pengurusan Operasi, Pengurusan Pemandu, Pengurusan Kenderaan, Pengurusan Risiko dan Pengurusan Rekod serta amalan keselamatan sebagai budaya dan norma industri pengangkutan awam.

SPAD juga akan meningkatkan standard minima untuk aspek fizikal bas, seperti penggunaan tali pinggang, jumlah tempat duduk, badan bas yang lebih teguh, dan aspek-aspek keselamatan yang lain yang akan menambahkan keyakinan ibubapa terhadap perkhidmatan bas sekolah.

Bagi meningkatkan keselamatan murid-murid sekolah, SPAD juga akan mencadangkan adanya penetapan tempat meletak kenderaan di luar kawasansekolah. Kesemua ini akan dimulakan dan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula 2015.

No comments:

Post a Comment