Wednesday, September 24, 2014

SPAD : ULAT TEKSI GUNA KERETA MEWAH PULA

Port Ulat Teksi di KLIA

Sungguh tidak faham apabila masih ada yang tidak mahu akur kepada undang-undang dan melakukan perkara-perkara haram juga menjadi pilihan untuk mencari rezeki.

Samada mereka ingin mencabar undang-undang negara atau telah menjadi kebiasaan atau terdesak? Jika diberi alasan mereka tidak tahu, ini adalah sesuatu yang pasti tidak boleh diterima kerana hampir setiap hari operasi SPAD untuk mencegah ulat teksi diwarwarkan di dada media samada di akhbar mahupun portal-portal berita.

Apabila pendapatan lumayan menanti yang mampu mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, hasrat seorang ulat teksi untuk memperdaya 2 pelancong asing warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 telah ditahan sepasukan anggota penguatkuasaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Lelaki seusia 57 tahun itu diberkas ketika sedang membawa 2 pelancong asing tersebut menuju ke kereta mewah Mercedes-Benz dan berhasrat membawa mereka ke Kuala Lumpur dengan mengenakan caj tambang sekitar RM120 kira-kira jam 9 malam.

Pihak SPAD terpaksa menahan lelaki berkenaan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Darat 2010 bagi kenderaan yang  digunakan selain Akta 205 Pengangkutan Darat bagi aktiviti teksi haram. Sekiranya di dapati bersalah, lelaki berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali selain menyita kenderaan berkenaan.

Memang menjadi sasaran ulat teksi ini adalah pelancong warga asing dari Timur Tengah dan China yang pertama kali tiba di negara ini dan terbukti pengakuan kedua-dua  pelancong tersebut baru menjejakkan kaki ke negara kita.

Sebenarnya, pihak SPAD sedang mengadakan operasi khas di KLIA dan KLIA2 apabila telah menerima banyak aduan mengenai kebanjiran ulat teksi dan difahamkan kegiatan ulat teksi itu sudah lama berlarutan di KLIA dan KLIA 2.

Seramai 32 anggota penguatkuasaan SPAD terpaksa melakukan aktiviti penyamaran dengan menyamar sebagai penumpang bagi memerangkap ulat teksi berkenaan yangtelah memulakan operasi dari jam 6 petang dan berakhir jam 11 malam.

Bagi membanteras kegiatan ulat teksi ini, pihak SPAD telah menempatkan anggota penguatkuasanya secara statik di beberapa lokasi utama seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS); Pudu Sentral dan KLIA.

Kepada ulat-ulat teksi yang masih ingin mencuba nasib, seandainya tertangkap maka hukuman berat sedang menanti anda.

Kita pasti tidak akan menafikan - Sepandai pandai tupai melompat, akhirnya akan ke tanah juga.

Janganlah cuba mencantas rezeki pemandu-pemandu teksi yang sedang gigih mencari rezeki halal yang patuh kepada undang-undang dan adalah tidak adil kepada mereka.

Sebagai rakyat, jangan pula kita beri kerjasama kepada ulat-ulat teksi ini, kerana tiada perlindungan yang mampu diberi seandainya kita berhadapan dengan sebarang kemalangan di jalanraya nanti.


No comments:

Post a Comment