Thursday, May 01, 2014

PENANTIAN RAKYAT UNTUK MIGRASI TEKSI BANDAR BERMULA


SPAD telah mengumumkan teksi-teksi yang mencapai had usia 10 tahun wajib ditukarkan kepada TEKS1M berkuatkuasa pada 1 Mei 2014. Ini melibatkan kesemua teksi dan di antaranya termasuk teksi bajet dan eksekutif.

Teksi-teksi ini juga diberi pilihan samada diguna hingga tempoh selama 6 bulan yang berakhir 31 Oktober 2014 atau menukar kepada TEKS1M dengan serta merta. Ini bermakna selepas 31 Oktober 2014, semua teksi bajet dan eksekutif wajib ditukarkan kepada TEKS1M sebaik sahaja mencapai had usia.

Mengikut statistik SPAD, sebanyak 2,604 teksi bajet dan eksekutif daripada 39,531 teksi bajet dan 3,111 teksi eksekutif yang kini beroperasi di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang sedang menghampiri had umur 10 tahun. Oleh itu, di dalam perkiraan SPAD, di dalam tempuh 5 tahun akan datang, hampir 50% dari keseluruhan teksi bajet dan eksekutif akan mencapai had umur dan perlulah ditukar.

Kita sering dengar kutukan yang taraf teksi Malaysia di tahap yang sangat kritikal dan memalukan. Kutukan ini pernah disiarkan di media tempatan dan juga di media antarabangsa yang telah meletakkan kedudukan teksi Malaysia di tahap yang terburuk. Kini tiba masanya, kerajaan mengambil langkah migrasi teksi bandar sedia ada
kepada TEKS1M.

Tujuan migrasi ini adalah semata-mata untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan setaraf dengan perkhidmatan teksi seperti di London, New York, Tokyo dan Dubai.

Apabila satu model operasi teksi bandar diseragam dan lebih efisyen dapat dilaksanakan, yang pasti SPAD akan memperkenalkan dasar-dasar baru untuk penambahbaikan seperti;
  • Penetapan spesifikasi minimum kenderaan dan had usia lebih singkat, iaitu 7 tahun.
  • Ciri-ciri kenderaan yang lebih selamat (ABS, beg udara) dan selesa (ruang kaki & bagasi).
  • Penggunaan sistem tempahan dan penghantaran teksi yang berdaftar.
  • Insurans perlindungan kenderaan dan penumpang.
  • Pemandu menghadiri kursus latihan anjuran S.P.A.D.
  • Membenarkan penghantaran penumpang ke luar kawasan operasi berdasarkan permintaan.
  • Kadar tambang berdasarkan kos yang lebih seragam dan berpatutan.
  • Tanggungjawab pengendali dan pemandu yang lebih jelas.

Inisiatif tambahan pula adalah;
  • Penguatkuasaan (berterusan) – Peningkatan usaha-usaha dalam memastikan pemandu dan pengendali teksi mematuhi syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.
  • Kursus Latihan Pemandu Teksi (sedang dijalankan) – Menekankan aspek kemajuan budaya dan minda pemandu agar dapat menyumbang ke arah transformasi kerjaya pemandu & industri teksi
  • Driver Information System (sedang dimuktamadkan) - Pangkalan data berpusat untuk maklumat pemandu
  • Rasionalisasi kadar tambang (sedang dimuktamadkan) – Pendekatan sistematik dan konsultatif bagi penentuan kadar tambang teksi yang memberi fokus kepada aspek kualiti perkhidmatan dan kelestarian industri teksi
  • Centralised Taxi Service System (akan datang) – Infrastruktur teknologi yang membolehkan pemantauan prestasi perkhidmatan teksi dan mengintegrasikan sistem tempahan dan penghantaran teksi sedia ada.

Dengan ini, apabila pelan migrasi teksi dilaksanakan nanti, diharap tiada lagi rungutan dan kritikan malahan kita pasti dapat berbangga dengan peningkatan taraf teksi yang akan kita naik nanti.

Bukan itu saja, taraf pemandu-pemandu teksi juga akan dapat ditingkatkan dan secara langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka dan kerjaya sebagai pemandu teksi akan lebih dihargai.

Kebanyakan dari kita sebagai penumpang akan rasa lebih selamat apabila maklumat pemandu dipantau pihak SPAD dan yang paling utama, SPAD akan mewajibkan mereka menghadiri kursus latihan pemandu teksi.

Rasanya tidak sabar untuk melihat perubahan di atas inisiatif kerajaan melalui SPAD dan dalam tempuh 6 bulan dari sekarang, pasti pemandu teksi gembira, rakyat selesa dan maruah negara pun terbela di mata dunia.

No comments:

Post a Comment