Thursday, April 17, 2014

SPAD DEDAHKAN TAKTIK PEMANDU LORI ELAK DITAHAN


Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua dan begitu jugalah pemandu-pemandu lori yang mencuba pelbagai taktik untuk mengelak dari ditahan SPAD ketika mengadakan operasi.

Dalam Ops Hippo yang dijalankan di kawasan Puchong Perdana, sebanyak 23 lori ditahan atas pelbagai kesalahan dan operasi bersepadu kali ini dijayakan lapan pegawai dan 64 anggota termasuk pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. Sebanyak 24 kes dicatatkan sepanjang operasi itu dijalankan sejak jam 9 pagi dan berakhir enam jam kemudian

Kesalahan-kesalahan lazim yang sering dilakukan mereka adalah membawa lebih muatan, membawa lebih muatan panel sisi, halangan dan gagal mengemukakan lesen pengendali. Pihak SPAD telah menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung kegiatan pengusaha lori yang membawa muatan berlebihan di kawasan Puchong sehingga menyebabkan jalan rosak teruk.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad telah mendedahkan taktik-taktik pemandu lori yang tidak bertimbang rasa lori sehingga ada yang sengaja membuang lebihan muatan dan selalunya tanah di atas jalan sehingga membahayakan nyawa pengguna yang berada di belakangnya. Terdapat juga segelintir pemandu lori yang diarah melakukan pemeriksaan akan memandu kenderaan mereka menggunakan gear tinggi sehingga menyebabkan enjin kenderaan mengalami kerosakan.

Jangan ingat pemandu-pemandu lori ini boleh mengelak setiap masa kerana dengan kecekapan SPAD, nombor pendaftaran kenderaan akan dicatatkan untuk siasatan dijalankan sebelum pemandunya didakwa di mahkamah. Walaupun mereka tidak didakwa di mahkamah, pihak SPAD tetap akan mengambil tindakan pentadbiran dengan membatalkan serta menggantung lesen mereka.

Tetapi jika tertangkap dan sekiranya disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana melanggar peraturan dengan membawa muatan melebihi berat yang ditetapkan yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sememangnya kerjasama dari penduduk Puchong juga dialu-alukan bagi membanteras sikap pemandu-pemandu lori yang tidak bertanggungjawab ini disamping penguatkuasaan SPAD yang melakukan operasi pada waktu-waktu tertentu.

No comments:

Post a Comment