Thursday, May 15, 2008

Apa Silap Hishammuddin Mohon Maaf?

Oleh :Lee Ngah Yem

Isu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mohon maaf kerana menghunus dan mencium keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agung Umno, nampaknya menjadi bahan cacian sesetengah pihak yang gagal memahami maksud sebenar langkah berani yang diambil Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu.


Di laman mymassa (http://mymassa.com) saya terbaca tulisan Wak Semar yang bertajuk Hishammuddin Bacul dan Bodoh Sebenarnya dan satu lagi artikel bertajuk Hishammuddin Patutlah Undur Dari Ketua Pemuda – bolehlah dianggap sebagai satu tulisan yang tidak bernilai selain dari melepas geram, dan tidak ada hala tujuannya.

Jika langkah Hishammuddin dianggap sebagai bacul, langkah penulis itu pula bolehlah dianggap sebagai bodoh sombong atau satu gambaran betapa ceteknya pemikiran dia, sekadar mahu menulis kerana ‘ada ruang’ untuk menyiarkannya.

Kata Hishammuddin; “Memohon maaf jika ia menjadi antara faktor menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum 2008.”

Katanya, kepada bukan Melayu, saya memohon maaf kerana tindakan itu menyebabkan mereka ditakut-takutkan oleh politik persepsi dan gembar-gembur terhadap keris sebagai satu simbol, sedangkan itu bukan niatnya.

Kepada orang Melayu pula, Hishammuddin memohon maaf kerana tidak dapat mempertahankan keris sebagai simbol warisan bangsa.

“Kalau realitinya begitu, saya bukanlah seorang yang angkuh dan bongkak sehingga tidak boleh menerima hakikat.

“Ia satu pengajaran sedih tetapi jika hari ini politik memang sebegitu rupa, kita sebagai pemimpin mesti besar hati dan jiwa untuk sanggup meletakkan kedudukan BN lebih penting daripada segala-galanya.

“Sebagai Ketua Pemuda, saya secara peribadi sanggup memikul tanggungjawab itu. Kalau ia menimbulkan keadaan yang memerlukan saya memilih antara diri dan parti, saya pilih parti kerana ia penting untuk kita wariskan kepada generasi akan datang,” Hishammuddin dipetik sebagai berkata.

Apa yang peliknya, apabila Hishammuddin tidak mampu mempertahankan simbol ini, ia bukan bermakna dia tidak mempunyai kekuatan tetapi dia mempunyai satu jiwa besar, sanggup mengakui, “jika kerana keris menjadi antara faktor menjejaskan prestasi BN dalam Pilihan Raya” beliau memikul tanggungjawab itu, dengan memohon maaf demi BN dan bukan kerana kepentingan politik peribadinya.

Apabila Hishammuddin sanggup melangkah setapak ke belakang, atau mengalah, bukanlah bererti dia berundur atau mengaku kalah. Malanglah nasib rakyat Malaysia jika terdapat penulis-penulis yang hanya boleh membaca dari satu sudut ‘tanpa keris Melayu’ tidak bermaya.

Mana bijak pandai-bijak pandai (yang cukup pandai bercakap) di kalangan tenaga–tenaga di universiti, pertahankanlah ‘keris’ yang sudah gagal dipertahankan oleh Hishammuddin bukan dengan mengkritik Hishammuddin sebaliknya memainkan peranan untuk memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar universiti dan di akar umbi (bercakap dan menulis makalah) supaya keris difahami sebagai simbol kepada bangsa Melayu.

Hishammuddin adalah nama yang disebut bakal Perdana Menteri Malaysia suatu ketika nanti. Ini semua orang tahu dan malanglah bagi rakyat Malaysia (terutama yang bukan berbangsa Melayu) jika mereka merasakan Hishammuddin hanyalah Perdana Menteri kepada orang-orang Melayu sahaja dan bukan Perdana Menteri kepada mereka.

Apalah sangat dengan memohon maaf dengan kerja-kerja yang telah dan akan dilakukan Hishammuddin di Kementerian Pelajaran (sebelum ini di Kementerian Belia dan Sukan) di dalam memajukan bangsa Melayu?

Apa yang peliknya, seolah-olah apabila Hishammuddin mengaku silap dan memohon maaf, seolah-olah Hishammuddin bukan lagi seorang pejuang, bukan lagi seorang Ketua Pemuda Umno yang cukup berwibawa dan bukan lagi seorang Menteri yang cukup prihatin terhadap nasib bangsanya.

Hishammuddin bukan menjual dan mengadai bangsanya. Hishammuddin bukan mengamalkan rasuah. Hishammuddin bukan ada skandal atau Hishammuddin telah menjahanamkan bangsanya. Hishammuddin hanya mengaku; “jika kerana keris prestasi BN terjejas” menyebabkan penulis-penulis dan beberapa orang seperti hilang akal dengan memaki hamun Hishammuddin.

Ada yang menulis kononnya Hishammuddin bukan “Melayu’ apabila memohon maaf kepada bangsa Melayu dan kepada bukan Melayu. Pelik sungguh pemikiran orang-orang seperti ini.

Keris terus menjadi simbol Melayu. Malahan, keris juga terus menjadi simbol Umno. Tidak ada kena mengena dengan permohonan maaf Hishammuddin menyebabkan keris sudah tidak lagi menjadi simbol. Yang Hishammuddin lakukan ialah kesilapannya menghunus dan mencium keris menimbulkan persepsi kurang sihat. Itu sahaja.

Akhbar Indonesia Batam Pos turut menyiarkan berita ini dengan tajuk ‘Hunus Pedang Ketika Rapat – Politisi Mohon Maaf’.

Dalam satu siaran radio Bernama, ada seorang tetamu jemputan turut membidas Hishammuddin kononnya tidak bijak kerana memohon maaf. Saya cukup terkilan dengan juruhebah radio tersebut kerana selepas dia menjemput tetamu tersebut, tidak pula dia menjemput salah seorang Exco Pergerakan Pemuda Umno untuk menjawab semula tohmahan tetamu itu terhadap Hishammuddin.

Apakah tetamu itu (orang Universiti) terlalu sayangkan bangsanya dan simbol bangsanya dengan mengherdik Hishammuddin?

Apakah langkah Hishammuddin itu bererti Hishammuddin sudah tidak sayangkan bangsanya? Sudah tidak sayangkan partinya? Sudah tidak sayangkan agamanya? Sudah tidak sayangkan negaranya?

Apakah orang yang mencaci Hishammuddin dalam isu ini lebih sayang kepada bangsanya lebih dari sayangnya Hishammuddin kepada bangsanya?

Apa yang tukang herdik ini sudah lakukan terhadap bangsa Melayu? Lebih baik dari Hishammuddin lakukan?

Pemuda Umno – dan semua orang-orang Umno perlu memberi sokongan tidak berbelah –bahagi kepada Hishammuddin dalam isu ini. Kerana, Hishammuddin seorang pemimpin muda yang berpandangan jauh. Bukan keris yang akan membela nasib Melayu. Nasib Melayu tidak terletak kepada keris yang kita kucup dan kita hunus.

Nasib Melayu akan terbela jika kita mempunyai pemimpin Melayu yang tidak sombong, sanggup mengaku silap apabila ada orang menegur dan merendah diri. Bukan bermakna Hishammuddin merelakan bangsanya dipijak-pijak tetapi kepentingan kumpulan yang lebih besar diutamakan daripada kepentingan kumpulan yang lebih kecil.

Walaupun Hishammuddin memohon maaf bukan bererti Hishammuddin turut mencadangkan supaya orang-orang Melayu semuanya tunduk kepada bangsa lain atau mengaku kalah, sebaliknya dia sedang menyusun langkah untuk pergi lebih jauh ke hadapan demi membela bangsanya yang sedang dipecah-pecahkan oleh anasir yang gilakan kuasa.

Jangan risau dengan kemampuan pemimpin bernama Hishammuddin kerana dalam dirinya ada tekad dan semangat waja, sama kerasnya dengan besi keris Panca Warisan yang dihunus dan diciumnya itu.

1 comment:

  1. Mayang berpendapat;
    Dengan membaca tulisan penulis ini, barulah saya faham, bahasa Datuk Seri Hishammuddin melekkan kepentingan 'kumpulan yg lebih besar (BN), mengatasi kumpulan yang lebih kecil (Umno) di dalam membuat satu-satu keputusan. Mulanya saya keliru kerana Hishammuddin seolah-olah lemah dan penakut tetapi bila berulang-ulang kali membaca hujah di sini, saya faham, sebagai seorang pemimpin, Hishammuddin bertindak jauh ke hadapan demi mempertahankan keharmonian! Syabas

    ReplyDelete