Thursday, December 27, 2012

PRU 13 - PESANAN UNTUK KAUM CINA DAN RAKYAT MALAYSIA

Psikologi menang 154 hari - (Utusan) oleh Fuad Hassan

KALAU dikira dari Isnin 24 Disember 2012, tinggal hanya 154 hari sebelum mandat memerintah sedia ada berakhir 28 April 2013.
 
Persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran rakyat negara ini waktu ini tentunya mengenai aspek psikologi menang di pihak yang mana - kerajaan atau pembangkang.

Ditemui di Kuala Lumpur Isnin lalu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan menarik perhatian kami mengenai isu-isu yang melingkari sosio politik tanah air dalam tempoh empat tahun setengah ini.

Gemar berterus-terang meskipun pahit di telinga mana-mana pihak yang mana 'makan cili terasa pedasnya', Fuad membahagikan segmen-segmen berikut dari rumusan dapatan kajian pihaknya di kesemua 222 kerusi Parlimen dan 546 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ini untuk dinilai, direnung dan dipertimbangkan oleh orang ramai.


1. KE MANA HALA TUJU SOKONGAN KAUM?

Orang Melayu - Kebelakangan ini orang Melayu dilihat lebih prihatin terhadap isu-isu agama, isu-isu nasib kaum mereka sendiri dan juga soal keperluan asas yang mereka perlukan. Jadi, orang Melayu 'agak semacam' apabila timbulnya isu seperti murtad, hak mereka nak diketepikan dan dipinggirkan serta isu-isu yang dapat dilihat bahawa seolah-olah macam dasar-dasar penting ataupun dasar-dasar yang telah diinstitusikan serta telah dipersetujui hendak dipunggah dan dihapuskan. Jadi, ini menyebabkan orang Melayu berasa terancam dan mereka hendak kembali kepada BN. Namun sokongan Melayu berbeza mengikut perbezaan geografi, umur, pekerjaan dan pendidikan. Pendaftaran pengundi baru hampir 3 juta harus menjadi perhatian serius semua pihak.

Orang India - pun begitu juga. Perdana Menteri selalu menekankan agar pegawai kerajaan dan pekerja parti tidak harus terlepas pandang tentang masalah kaum India yang mungkin terpinggir terutama di kawasan ladang dan pekerja bawahan. Isu Kampung Buah Pala, isu memusnahkan rumah ibadat dan sebagainya menyebabkan kaum India mulai meningkatkan sokongan kepada Perdana Menteri melalui konsep Nambikei. 

Walaupun PKR cuba mengeksploitasi isu lawatan Presiden Sri Lanka, Rajapakse ke Malaysia, menggunakan pemimpin kaum India sebagai pemimpin 'Bersih 3.0' atau menggunakan pemimpin Hindraf namun ternyata belum berkesan. Sokongan kaum India setakat ini nampaknya kepada Perdana Menteri.
 
Kaum Cina - Masyarakat Cina berhati-hati dalam membuat keputusan politik (calculated political moves) yang bersifat strategik dalam kerangka mempastikan kesinambungan politiknya (the politik of survival). Pendekatan yg penuh cermat ala feng shui selepas 13 Mei. Mereka diuar-uarkan oleh kepala pemimpin Cina bahawa langkah MCA dan Gerakan melalui 'pendekatan dari dalam' bagi mewakili kepentingan Cina tidak berkesan. UMNO dikatakan terlalu dominan. Persepsi ini perlu ditangkis oleh pihak yang berkenaan. Bukankah DAP juga merupakan parti yang terlalu dominan di Pulau Pinang dan mereka memerlukan hanya lagi 3 kerusi DUN untuk memerintah sendiri tanpa PKR dan Pas?.

Namun demikian dalam tempoh terdekat ini ada tanda-tanda orang Cina lebih melihat kepada politik kestabilan.

Saya (Fuad) fikir kaum Cina mula dapat menghidu bahawa ada banyak janji parti pembangkang memerintah di negeri-negeri tertentu yang tidak dipenuhi. Jadi, ini menyebabkan kegoncangan kepercayaan mereka kepada pembangkang. Mereka juga mula membandingkan personaliti dan gaya kepimpinan Perdana Menteri yang bekerja keras untuk rakyat dan dilihat ikhlas serta punyai track record kerja yang cemerlang.

Pemimpin Cina juga sedikit sebanyak mendapat kekuatan dari pendekatan kreatif DAP untuk anak-anak muda Cina Melayu gaya "Gangnam Style". Demikian juga dengan pemimpin muda Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Namun pendekatan baru MCA dan perlantikan pemimpin parti Gerakan yang baru di Pulau Pinang boleh memberikan persaingan hebat.

2. SENTIMEN 'HIT THE LEADER'?

Najib ketika ini 'anchor' kepada kekuatan UMNO dan BN. Dalam saat UMNO berada pada tahap kepercayaan yang rendah pada rakyat, PM Najib yang sebenarnya telah membantu menaikkan tahap ini semula sehingga rakyat sudah mula terima termasuk melalui konsep 1Malaysia. Jadi langkah-langkah yang beliau ambil ini dilihat oleh orang Cina sebagai bersungguh, walaupun satu strategi pakatan pembangkang adalah menyerang kepala pemimpin, iaitu kalau nak menjatuhkan BN atau UMNO, 'hit the leader', Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Oleh sebab itu banyak sekali isu ciptaan dapat dilihat yang di 'spin' berterusan dan berpanjangan. Isu Scorpene dan pembunuhan Altantuya yang sudah dijelaskan berkali-kali tetapi dieksploitasi untuk menghantar sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat menjelang PRU 13.

Namun demikian mereka lupa bahawa berbeza dengan lain, UMNO merupakan parti yang sudah berpengalaman, sudah stabil lama walaupun mereka 'memusnahkan' pemimpin nombor satu, bahteranya masih ada.

Sebagai contoh, di Indonesia, walaupun Golkar sudah kalah sebagai parti pemerintah tetapi masih kekal sebagai parti pembangkang terkuat dan masih kekal walaupun pemimpin parti itu seperti Habibie, Suharto, Akhbar Tanjung tidak ada.

Dan tidak mustahil Golkar akan menjadi seperti parti LDP yang kembali berkuasa di Jepun.

Apabila rakyat sudah melihat apa yang dijanjikan dari pihak pembangkang tidak berlaku, negara sudah bertukar pemimpin, mereka sudah diberi peluang untuk memerintah, tetapi rakyat masih lagi berasa tiada perubahan yang berlaku.

3. KEDUDUKAN BN/PEMBANGKANG DI MANA?

Ada bukti yang cukup kuat bahawa BN akan kembali menawan negeri-negeri yang dulunya kalah khususnya mengikut ranking 1. Perak, 2. Kedah 3. Selangor dan BN akan berusaha untuk kurangkan majoriti di Pulau Pinang dan Kelantan. Tetapi tidak mustahil khususnya di Kelantan, kalau ada isu-isu yang boleh kononnya menimbulkan kebangkitan rakyat kemungkinan Kelantan juga boleh jatuh ke tangan BN. Namun ini bukan sesuatu yang mudah.

Di Sabah dan Sarawak walaupun dikatakan ada gangguan-gangguan di sana sini, tetapi keadaan masih terkawal. Meskipun ada 'lopak' di sana sini khususnya mengikut sokongan kaum Cina terutamanya di bandar-bandar besar yang dianggap akan bertahan atau jatuh pada DAP, tetapi ada kemungkinan mungkin kembali kepada pangkuan BN. Ini akibat wakil rakyat parti itu tidak melakukan perkhidmatan yang baik setelah diberikan peluang.

4. FAKTOR CALON PENENTU PRU 13

Hasil pemantauan JASA mendapati rakyat akan memilih calon yang sering mendampingi atau dapat menyelesaikan masalah. Rakyat akan memilih bukan sahaja berdasarkan persepsi melalui isu-isu nasional atau lambang pemimpin utama, tetapi berdasarkan siapa pemimpin kawasan yang berjaya menawan hati dan minda mereka melalui kerajinan dan keikhlasan pemimpin.

Memainkan isu-isu Lembu, Teoh Beng Hock, Lynas, Kapal selam Scorpene, AES bukan jadi penentu kemenangan pihak yang berkesan, namun perkhidmatan, akhlak pemimpin, kreativiti pemimpin dan kesihatan masih relavan dan akan dipilih rakyat.

5. MAJORITI DUA PERTIGA

Saya lihat BN ada peluang meraih kembali majoriti dua pertiga. Cuma ia memerlukan sedikit masa dan usaha. Semua orang tahu hendak kembali mendapatkan dua pertiga mesti setiap parti perlu bijak dalam mengurus sokongan angka, bijak dalam mengurus dan menangkis persepsi serta mempunyai kemahiran gerak saraf yang tinggi.
Pihak yang ingin menang perlu mendapatkan sokongan kaum Cina tidak kurang 30 peratus serta sokongan Melayu, bumiputra dan India melebihi 60 peratus.

Oleh kerana kaum Melayu berpecah kepada 3 sokongan maka sudah tentulah kaum Cina menjadi rebutan semua pihak dan mereka boleh menjadi 'king maker' dalam perpecahan kaum Melayu. Ini diambil kesempatan oleh pihak pelampau Cina dengan membuat tuntutan yang sukar bagi Najib membuat keputusan.

Namun, saya fikir ini akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang akhirnya merugikan kaum Cina itu sendiri. Jadi, kaum Cina perlu rasional dan meminta sesuatu yang munasabah dalam lingkungan yang mampu dilaksanakan oleh Perdana Menteri. Jika politik negara tidak stabil kesannya kepada keadaan ekonomi negara yang umumnya dikuasai oleh kaum Cina juga. Mereka mungkin terjejas teruk akibat mangsa politik persepsi dan pertarungan fitnah yang melampau. Peristiwa 13 Mei (1969) mungkin tidak berlaku lagi, tetapi pengalaman yang dilalui Indonesia, Mesir dan lain-lain perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak.